Sunday, October 23, 2011

Mahu Menjadi Penulis Sepenuh Masa?

Dua hari lepas, saya bergegas ke DBP bertemu rakan seperjuangan. Sebelum itu, sesudah mendapat berita bahawa Dawama mengalami masalah yang tenat, hati saya sudah tidak senang. Terfikir dua buah karya yang diterbitkan dengan DBP tidak ada dalam tangan. Novel Lagukan Senandung Itu dan Kumpulan Cerpen Mencari Gayung, itu saya terkenang. Meskipun bercinta benar mahu ke kedai buku Dawama, namun saya gagahkan, tapi akhirnya rakan saya yang membelikannya kerana dia terlupa bahawa dia sudah berjanji dengan seorang rakan lain untuk ke sana pada sebelah petang Jumaat. 


Antara novel terbitan DBP yang dijual di fb

Saya katakan, tidak mengapalah kalau begitu. Ketika berada di DBP pada Jumaat lepas, dapatlah kami berbincang seputar dunia penulisan dan perihal yang melanda. Kira-kiranya, sempatlah bertukar-tukar pandangan sebelum rakan saya itu beredar atas dasar kerja. Dalam hati terfikir, bolehkah aku menjualnya nanti. Fikir punya fikir, saya nekad untuk mengiklankannya di fb dan KSF. 'Kalau ada pembeli alhamdulih, kalau tiada, simpan sahajalah,' bisik hati saya. 

Namun tidak sampai dua hari, sembilan naskhah setiap tajuk terjual dengan cepat. Terima kasih benar kepada rakan-rakan yang memberi sokongan dengan membelinya. Melalui fb, kini hanya tinggal beberapa naskhah sahaja. Terfikir mahu pergi ambil lagi? Mungkin tidak agaknya, kecualilah ada pesanan yang banyak. 

Apa-apa pun, begitulah nasib Dawama dan penulis. Bagaikan kekasih lama yang terpaksa berpisah, akhirnya saya membuat keputusan untuk setakat ini menghantar karya-karya penulisan saya ke penerbitan lain yang lebih menjamin dan mampu mempromosikan hasil tulisan saya. Mahu kata berpatah arang, saya tidak berani. Tapi untuk setakat ini, terpaksalah mencari alternatif lain yang lebih selamat. Kalau tidak, mungkin sahaja karya saya dimakan lipas dan bubuk sahaja. 

Nasiblah ... kalau ada sesiapa yang bercita-cita mahu menjadi penulis sepenuh masa, harus punya wawasan dan iltizam yang tinggi dalam menghasilkan karya. Banyak pengorbanan yang harus dilakukan, banyak sekali .... Kalau masih menjadi penulis separuh masa atau sambilan, memang dia takkan mengalami apa yang saya atau sahabat saya, Nisah Haron rasakan. Kadang kala tersepit antara prinsip dan soal cari makan. Lama-kelamaan, keperluan harus diutamakan. Selagi seseorang penulis itu mahu, Insya-Allah ada jalannya.

Pendek kata mahu benar-benar merasakan pengalaman menjadi penulis sepenuh masa, silakanlah kalau benar-benar berani dan sudah punya perancangan. Kalau mahu tunggu duit banyak, baharu berhenti, memang tidak jadi. Berhenti dahulu, kemudian buat duit banyak-banyak dengan berkarya. Banyak sebenarnya jalan untuk menjadi penulis sepenuh masa kalau kena gayanya. Contohnya selain menulis novel, cerpen dan puisi; boleh sahaja menulis :

1) Skrip drama tv
2) Skri drama filem
3) Skrip animasi
4) Skrip dokumentari
5) Skrip drama radio
6) Penterjemah bebas
7) Penulis artikel 
8) Wartawan bebas @ stringer
9) Editor bebas
10) Untuk Telco 
11) Penterjemah sari kata ...

(Sebab itulah saya berusaha mengadakan bengkel yang pelbagai - sebagai 'pembuka jalan' kepada mana-mana rakan penulis atau sesiapa sahaja yang berminat) - sila klik sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Banyak lagi sebenarnya, yang saya senaraikan itu apa yang saya maklum, mungkin banyak lagi tapi saya tidak tahu. Jadi sebenarnya apa itu menjadi seorang penulis sepenuh masa? Banyak sebenarnya kalau dibicarakan, namun cukuplah saya mengatakan 'barang siapa yang rasa, dialah yang tahu.' Kalau masih punya kerja hakiki yang bergaji bulanan tanpa perlu sakit kepala selain menulis, bolehlah dia bercakap sesuka hati mengkritik sana-sini. Tapi kalau sudah menjadi penulis sepenuh masa, tahulah apa yang saya katakan sebelum ini. Kata orang tua-tua 'cakap siang, pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.'

Nantilah, kalau ada masa terluang, saya bicara lagi tentang dunia sebenar menjadi seorang penulis sepenuh masa. Akhir kalam, kalau kamu sendiri tidak yakin bahawa dunia penulisan mampu menjamin kehidupan dan menjadi suatu kerjaya yang selamat, apa kamu fikir orang lain akan yakin dengan kamu? Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum itu, melainkan dia yang mengubahnya sendiri. Wuallahua'lam.

p/s : Terima kasih kepada semua pembeli karya-karya saya, saya amat-amat berterima kasih kepada kalian!

2 comments:

Bidadari Syurga 10:10 PM  

salam... saya baru beli buku raungan mantera... genre awak bagus... nanti saya nak cari mantera hitam pula...

p/s: gud luck...

sf,  2:08 AM  

Salam hormat, terima kasih dan selamat membaca. Raungan Mantera adalah sambungan pada Mantera Hitam. :)

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP