Wednesday, November 17, 2010

Melayang Ke Istana Mughal


Kebetulan hari Isnin lepas, tanpa dirancang, saya dan keluarga pergi ke Muzium Kesenian Islam untuk mengisi hari Selasa yang terluang (lokasinya berhampiran dengan Masjid Negara). Hampir beberapa tahun juga saya tidak menjejakan kaki di sini. Lebih kurang 3/4 tahun. Ketika itu harga tiket baru RM 8.00 kalau tidak silap saya. Tapi kali ini sudah menjadi RM 12.00. Cepat benar masa berubah, terasa hari menginjak malam tanpa ada hentinya.

Suasana di dalam muzium amat menyenangkan. Keadaannya yang lapang, bersih dan teratur, menyebabkan hati saya bagaikan benar-benar melayang ke istana Taj Mahal yang dibina oleh Shah Jahan untuk isterinya, Mumtaz. Istana yang benar-benar misteri, punya ratusan bilik dan sejarah hitam yang tidak terpadamkan lagi. Ah, lupakan sahaja tentang itu ....

Untuk pengetahuan rakan pembaca, muzium tersebut sedang mengadakan pameran Warisan Khazanah Dunia - Seni Hiasan & Permata Dinasti Mughal sehingga 30 Disember 2010. Mungkin kepada sesiapa yang berpeluang dan mempunyai luang waktu, silalah ke muzium ini untuk menyerap rasa dan jiwa berada di istana kemaharajaan Dinasti Mughal. Tatkala permata nilam baiduri mengerlap di tubir mata, hati saya terdetik bagaimanakah keadaan rakyatnya ketika itu. Apakah perjalanan hidup yang dilalui oleh rakyat marhaen apabila berada di bawah pemerintah-pemerintah tersebut? Bagaimana ya?

Kemudian, saya meneruskan kembara dalam bangunan berlantaikan mozek, berhembuskan penghawa dingin yang menggigit sum-sum, tambahan pula kilat berdenyar-denyar, melontarkan petir amarah. Kelihatan tingkat seterusnya, replika masjid-masjid terpenting dunia dan di nusantara berceracak di sana-sini. Telinga saya bagaikan menangkap puluhan azan dari kubah masjid yang melebar. "Allahuakbar, Allahuakbar!"

Saya jadi ralit menikmati hidangan maklumat dan gambar yang dipaparkan, termasuklah naskhah qur'an lama, nota-nota Melayu lama habis semua zatnya saya kunyah perlahan-lahan. Mana tahu, untung-untung ada ilham yang boleh di waktu mendatang. Tahu-tahu perut saya pula bergendang, amhu diisi. Tapi sayang, di situ hanya ada restoran yang saya kira agak mahal, berdasarkan hiasan dan cara - kata salah seorang petugas yang ditanya, "Hanya ada resotaran yang menghidangkan makanan Arab dan ... " Saya pun lupa makanan apa yang dihidangkan, tapi nyata bukan makanan Melayu yang dihidangkan. Pendek kata di sini tiada kafe biasa yang menghidangkan makanan dengan harga yang biasa dijumpai. Sayang ....

Selain itu, mata saya terpandang juga, pengunjung yang ada di situ hanyalah orang Arab, Inggeris, dan kami sekeluarga Melayu. Mungkin hari Selasa orang masih bekerja, atau mungkin juga sudah sibuk untuk persiapan Eidul Adha. Tapi ketika dahulu saya mengunjungi muzium itu, memang tidak ramai orang. Hanya pelancong asing yang memenuhi. Terfikir juga saya, mengapa ya? Berbanding dengan Muzium Negara yang lebih ramai dikunjungi oleh orang. Tiket mahal? Mungkin. Tiada makanan Melayu atau makanannya mahal? Mungkin juga. Tempat parkirnya juga tiada, terpaksa menghantar kereta ke parkir di hadapan muzium.

Mungkin juga, selepas ini saya akan ke Muzium Negara memandangkan di sana juga ada pameran khas berkenaan tenunan diraja Pahang. Mungkin di sana ada makanan yang lebih banyak dan murah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP