Wednesday, September 29, 2010

Antara Serunai Dan Bagpipe

Pagi ini agak tenang. Hanya derum enjin motor membelah sepi di kawasan perumahan saya tinggal. Sementara deraman enjin kereta dipanaskan sayup-sayup terdengar. Saya menjenguk dari dalam. Sesekali tangis anak kecil mencelah, melangsing seumpama jerit serunai. Tiba-tiba minda pita rakaman memori saya terbuka. Teringat ketika mengadakan persembahan di Pasar Seni. Saya bermain serunai, dan kelihatan ada beberapa anak Melayu dengan pakaian yang begitu asing dan jauh dari budaya Melayu.

Namun, saya mengenali benar alat muzik yang dibawa, bagpipe. Saya pula, serunai di tangan. Sementara menanti persemahan, saya mencuba dahulu serunai. Tak mahu nanti serunai meragam, enggan berbunyi ketika persembahan. Kemudian saya menghampiri budak muda, saya kira dia di awal 20-an. Pakaiannya lengkap sebagai seorang peniup bagpipe. Pakaian tradisi pemuzik Scotland. Cuma dia tidak mengenakan topinya sahaja. Rambutnya yang sedikit panjang dibiarkan terurai.

Saya tanya, "Bagpipe? Sudah lama main bagpipe?"

"Tak lamalah sangat bang, bolehlah dalam 2, 3 tahun."

Saya mengangguk. "Oh .... sedap juga bunyi bagpipe ni. Kiranya sambung nafaslah?"

Dia mengangguk. "Sambung nafas ni bang. Emmm ... kalau yang macam abang main tu tak sambung nafas, putus-putus nafas, kan?"

Saya memandangnya, ketika itu saya tidak tahu bagaimana saya harus bereaksi. Apakah perlu saya perlu senyum dan menyindirnya? Atau perlukah saya menerangkan kepadanya serunai juga harus dimainkan dengan sambung nafas, atau bagaimana? Namun kewarasan pantas mengambil ruang.

Gambar : sekadar hiasan

"A'ah, putus-putus nafas, tak sambung nafas macam bagpipe." Enggan menjatuhkan air mukanya.

Kami berbual panjang. Selesai bersalam, giliran kumpulan saya untuk membuat persembahan. Awal dari kumpulan bagpipe. Saya pun meniup beberapa lagu. Diiringi oleh rakan bergendang, kami menggamatkan dewan dengan irama joget, hindustan dan lagi rakyat. Ketika keluar dari dewan, saya terserempak budak muda yang bermain bagpipe di tepi dewan. Kami saling bertukar senyuman.

Saya dan rakan gendang beredar ke luar untuk megambil angin. Duduk di tepi dewan, saya merenung ke langit seni. Asap rokok naik melabun, saya tersandar.

2 comments:

Cikgooden (Selumbar Emas). 2:07 PM  

sambung nafas ke dak...suruh dia nterai la..ihihiih...baru tahu, kan.

sf,  2:16 PM  

Cikgu Din ... hehehe, tak apalah, dia tahu juga masa dia tgk aku buat persembahan tu. :)

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP