Tuesday, August 31, 2010

Kumpulan Puisi Serunai Faqir : Zikir Kasih (e-book)

Syukur alhamdulillah, dalam bergelut untuk menyudahkan Mantera Hitam 2, saya diberi kekuatan oleh Allah untuk menyudahkan kumpulan puisi ini. Sudah peringkat deraf akhir, dan tempahan untuk membelinya saya buka sekarang.

Al-kisah, sudah lama saya merancang untuk menghasilkan kumpulan puisi tapi asyik tertangguh. Akibatnya, apabila tahun lepas, seorang rakan editor mengatakan DBP tiada bajet untuk menerbitkan banyak kumpulan puisi, cuma dua atau tiga buah sahaja setahun. Saya senyum. Nampaknya saya harus melakukan sesuatu. Jadi, terlintas dalam kepala, elok saya menerbitkannya dalam bentuk e-book yang lebih ringkas, mudah pembuatannya jika dibandingkan dengan buku fizikal. Reka bentuk kulit luar sendiri, edit sendiri, baca pruf sendiri, pendek kata semuanya sendiri. DIY kata budak-budak sekarang.

Baharu saya tahu betapa bukannya mudah walaupun ia tidak melibatkan kos yang banyak. Namun saya ikhtiar mana yang terdaya. Tambahan buku-buku bentuk puisi tidaklah selaku novel atau lain-lainnya di pasaran, tapi saya nekad sahaja. Yang penting, ia siap dipersembahkan dalam satu bentuk yang boleh dibaca oleh sesiapa yang berminat. Alhamdulillah.

Puisi yang terhimpun ini saya pilih dari tahun sejak saya berkecimpung dalam dunia penulisan hingga 2008. Kumpulan puisi ini merangkumi seni, budaya, ketuhanan, masyarakat, kehidupan, peribadi dan sebagainya. Semoga sesiapa yang membelinya terhibur dan sama-sama mendapat manfaat darinya, Insya-Allah.

Tajuk : Zikir Kasih
Halaman : 130 m/s
Harga : RM 10.00
Penerbit : AVA (Astaka Villa Aksara)
Sesiapa yang berminat untuk menempahnya, sila emel serunaifaqir72@gmail.com

Diperturunkan salah sebuah puisi yang ada dalam naskhah ini buat tatapan.

Aku Tidak Mengerti Warnamu


(Buat S. Amin Shahab)


Tiadalah aku mengerti


tari warna yang berjoget


di pentas fikirmu


lalu tertumpah di kanvas resah


pada menyatakan sebuah perjalanan


canggung tujuh pelangi sakti


zapin tujuh gunung berapi


dan penonton terpaku mangu


menatap liuk ilham lendik gagasan


meresap merah semangat


ke urat nadi dan jantung


mewarnai citra sang pencari


pada putihnya hati


dan berus perasaannya


terus-terusan menyapu


hitam putih sejarah


yang selalu amarah


jarang sekali pasrah.


Balai Seni Lukis, K.L


16.6.04


Tunas Cipta

1 comments:

sinar layal 12:23 PM  

awak tahu tak camner nak join untuk deklamasi sajak ker pantun ek..sbb masa belajar dulu saya aktif mendeklamasikan sajak nie..bila dah kejer nie..xder medium yg sesuai.

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP