Monday, July 05, 2010

Gorn - Tersilap Beli Mantera Hitam!

kredit gambar: Alaf 21

Dari blog Gorn -Manapiranha : Terima kasih atas ulasan lu bro!

Membeli buku ini asalannya secara tidak sengaja. Dalam terma mudah, Aku tersalah ambil buku sebenarnya. Kesemua buku sudah habis dibaca di rumah. Hari senggang perlu di isi dengan bacaan kitab-kitab sastera. Sementelah mengait buah rambutan jiran sebelah yang juraiannya merimbun ke dalam daerah rumah aku, itu adalah subjek yang sedikit menggirangkan usus ini.

Tuan rumah sudah mengizinkan. “Kalau ada yang menjuntai masuk kedalam rumah hang, kira milik hang la Mat Gorn” Aku senyum tak putus bilamana buah sudah berputik. Berputih bunga luruh merasa pasir . Dalam hati, Aku ingat nak rembat sekali dengan rimbunan buah di daerah sebelah pagar sana. Nampak lebih rimbun merah buahnya. Enak sekali ulasnya.
Ahhh...tersasar jua natijahnya.

Mentera Hitam [Asalan]
Nama yang seakan klise. Kornea mata pasti takkan tertancap dengan tajuk sebegitu bila beratus buku beraneka kaler disusun dalam rak yang sama. Bilamana nama-nama judul yang lebih modenisma, lebih POP disuntik menjadi sebuah penjerat bola mata insan sementelah memukau jari untuk mencuit tengok.

Aku berkebetulan ingin mencari naskah Ramli Awang Mursyid. Selama beberapa bulan ini aku banyak menghabiskan bacaan naskah-naskah islamik karya penulis tempatan dan garapan penulis seberang laut. Aku fikir sudah cukup untuk kali ini aku bermuhasabah dalam karya sastera islamika.

Terasa bulan Julai harus paling tidak mencari sebuah karya yang menyuntik thrill ke dalam pembuluh darah ini. Biar degupan jantung terasa bagus kencangnya. Biar otak rasa tercerna dengan cambah-cambah persoalan seolah Sherlock Holmes gayanya.

Jumaat nan berkat. Aku ke kedai buku Popular di Pasific Megamall Perai yang jaraknya dari tempat kerja hanyalah beberapa hasta. Ya! Hasta makhluk yang diberi nama Monitor. Makhluk yang dijelmakan di dalam novel ini seakan benar munculnya di alam nyata. Penulis, Serunai Faqir [SF] membawa satu pendekatan yang berbeza dengan menyuntik elemen makhluk yang berada di dalam kitab Allah, Al-Quranul Qarim yakni Jin dalam dendam kesumatnya terhadap manusia. Sinopsisnya akan dikupas menjadikan pembacaan anda lebih mudah terhadam kelak.

sebetulnya aku ingin cepat membeli kerana keluar pada waktu kelegaan kerja pada hari tersebut. Di rumah kesemua buku sudah habis di khatam. Takut-takut malam ini otak aku akan hilang temponya dek kerana tidak membaca, maka aku mengambil keputusan mencuri sedikit masa sebelum menunaikan solat jumaat di masjid berdekatan.

Kehadiaran beberapa gadis di rak-rak buku Alaf 21 menjadi sedikit keresehan di hati aku. Ahhh...aku terlupa. Perempuan tidak bersembahyang Jumaat. Maka apa jadahnya aku muncul dikala kelegaan senggang solat wajibul Adam tersebut. Molek saja kalau aku melibas waktu pulang dari kerja kalau begini kisahnya.

Gadis-gadis berbaju kurung memandang aku atas bawah. Aku memandang zip seluar jeans yang lusuh. Takut-takut juga mungkin aku tak zip seluar ketika keluar tandas bila sampai tadi. [Aku rajin terlupa tutup zip sebenarnya. Acapkali keretapi YKK terbalik tak sampai destinasi..Hahaha]

Mereka memandang sepertinya dalam dua aspek.Satunya kerana hari itu adalah hari Jumaat dan sudah sepatutnya aku iktikaf dalam masjid pada waktu sebegini, yang keduanya buku Alaf 21 terkenal dengan karya percintaan remaja. Maka seorang lelaki yang kurang tampan berada di rak tersebut membuatkan aku terasa seperti seorang jejaka yang baru ketemu makna cinta. Rasanya amat panasaran!

Aku tak memboikot penerbit buku Alaf 21. Tak, Bukan begitu! Aku Cuma memboikot perasaan manusia terhadap aku. Jadahnya manusia itu, kalau aku tercongok mencari nama naskah novel, ada saja mata memandang aku bagai sang kelembai yang mahu merimbuk belakang belikat. Aku kelihatannya agak asing untuk memegang buku novel. Mungkin aku tak berada di tempat yang sepatutnya. Tempat di mana tumpuan lelaki berkumis nipis, berjanggut sejemput membelek-belek majalah modifikasi kereta berkapasiti 800 kuasa kuda, majalah maskulin yang memaparkan penjagaan hormon testeron pada musim salji di Gong Badak ataupun majalah motosikal berkuasa Power Rangers dari Sudan?
Ahhh...Aku tersasar lagi.

Sudahnya aku bergerak seritma sepertimana zahir kapal selam Rusia. Yang sekajap timbul, sekejap hilang dimamah air lautan. Malu untuk menimbulkan diri. Sekejap bergerak di rak motivasi pembangunan sahsiah diri kemudian mencuri-curi pergi ke rak Alaf 21 untuk mancari naskah Saudara Ramli Awang Mursyid.

Makanya gua hanya berjalan sepantas yang boleh melewati ke rak alaf 21. mencari karya-karya Ramli Awang Mursyid yang terbaru untuk bacaan senggang malam hari di hujung minggu.

Ajaib!
Aku tak tau bagaimana tangan aku boleh tercapai naskah yang memaparkan dua lelaki yang berpencak silat di muka kulit buku bertajuk Mentera Hitam.
Dibelek di muka belakang naskah ini tertera sinopsis cerita yang dimulakan dengan perkataan ‘spirit of the coin’ . Ini sekaligus mengimbau kembali permainan klasik aku di sekolah dahulnya. Budak asrama mana yang tak tau permainan klasik ini. Sikit punya tak jantan kalau tak pernah main.

“Lu takut? Lu punya telur dua biji kat cuping telinga ker?” Terngiang-ngiang perkataan nista tersebut yang pernah dibisikan oleh Hatta Azwa kepada aku pada tahun 1998. Dia kepalanya yang membentangkan kertas spirit of the coin untuk dimainkan pada malam jumaat yang terpilih. Aku sekadar tukang pembancuh air teh-o untuk melembabkan tekak yang kering sang pembaca mentera.

Ajaib!
Dalam sederet karya Ramli Awang Mursid yang bersusun sebaris. Karya ini memang menarik perhatian aku. Dan lebih menarik lagi apabila sudah di beli, sesudah bertarung membaca bab satu, baru aku perasan yang auranya lain.

Ada kelainan dari segi bahasa yang selalunya diguna pakai oleh novelis thriller no 1 Malaysia ini. Aku belek di muka hadapan. Buku siapa ini? Bahasanya bagus sekali. Susunan ayatnya mencerminkan keperibadian penulisnya. Penggunaan bahasa klasik yang teratur molek bak penulis pernah hidup di zaman kesultanan melayu Melaka.

Nah! Aku tersalah beli. Tersalah penulis yang ingin dicari. Serunai Faqir nama terisi. Aku kerutkan dahi tanda tidak mesra awalannya. Tapi isinya bagus. Pembawan wataknya cemerlang. Pengolahan cerita yang berani. Mesejnya sarat sekali. Dan aku boleh katakan ini karya Sai-Fai terbaik tahun 2010 yang pernah dihadam oleh minda aku.
(walaupun buku ini ditulis pada tahun 2009)

Aku beli pada tengahari Jumaat dan khatam buku ini pada keesokan harinya. Karya setebal 400 muka surat ini bagai magnet untuk pembaca terus melekat dari helaian ke helaian seterusnya. Dingin hujan malam sabtu telah disimbah dengan epik pertempuran Jin dan Manusia.

Kisah ini pernah aku fikir pada awalan tahun ini. Februari kalau tidak silap. Kenapa tidak ada kisah Jin kafir melawan manusia dalam karya arus perdana. Adakah menyalah hukum alam atau tidak lepas untuk tujuan penerbitan. Dan lebih memeranjatkan, Jalan ceritanya hampir sama dengan apa yang aku pernah cadang untuk menulis.

Sedikit garapan pernah ditulis point demi point dan ditunjukkan kepada Ain (Orang rumah) dan dia mengangkat kening sambil menjuih mulut kerana terlalu mistik untuk dicerna akal. (sekurang-kurangya SF lebih tepat menulis karya ini dari aku) karyanya bermutu tinggi sekali. Tahniah!


Mantera Hitam [Sinopsis]

Awalan bab pertama di kisahkan Marcel, seekor Jin kafir dari Portugal menjadi perisik belaan Alfonso de Albuquarqe yang mana dalam usaha menjatuhkan kerajaan Melayu Melaka ke dalam kekuasaan kerajaan Portugal.

Nasib Marcel menjadi malang apabila bertemu dengan Ali Kilat Remang Senja, seorang pahlawan melayu Melaka yang mempunyai kuasa hikmat di atas izin Allah dengan kebolehannya melihat jasad Jin yang halus.

Marcel yang bersabung nyawa bertarung dengan Ali Kilat Remang Senja telah tersalah jangka akan kebolehan pahlawan Melaka tersebut.Kehebatan Ali bukan tandingan Jin kafir dari portugal belaan Alfonso itu. Ali berjaya mengalahkannya dangan mengurung Marcel di dalam kurungan gelap dalam alam yang tidak dapat ditembusi oleh Jin dan manusia. Bermulalah sejarah hitamnya dan tinggallah Marcel hidup dalam kurungan tersebut sehingga ke zaman pasca moden kini.

Kini. Di tahun ini, 3 orang pemuda belasan tahun, Hazil, Tunku dan Nik secara tidak sengaja telah menyeru Marcel dengan permainan spirit of the Coin ketika dalam perkhemahan pengangkap antara sekolah-sekolah. Bermula dari titik pemujaan tersebut, Marcel telah berjaya meloloskan diri dari alam kegelapan yang mengurunginya.

Aku kira marcel seorang jin yang pandai bergurau senda. Bayangkan bagaimana seekor jin dari zaman kesultanan melayu melaka boleh tercampak kezaman ini dimana kesemua jin telah pandai menggunakan barangan berteknologi tinggi sejajar dengan perkembangan teknologi manusia. Malah lebih hebat dari itu!

Marcel yang terkedu bertemu dengan kenderaan yang menderu laju, fasyen anak muda terkini dan juga banggunan yang gah mejulang ke langit membuatkan sedikit sebanyak lawak yang segar dalam keseriusan novel ini. Sekaligus meregangkan sedikit ketegangannya dalam pencarian Marco, iaitu sahabat lamanya yang telah berpaling tadah kepada Raja de Angra (Raja Jin Sepanyol).

Dendamnya kepada Marco telah menemukan Marcel kepada Alora seekor Jin yang pandai dalam teknologi tinggi dalam membantunya mencari kesemua info pada tahun yang didudukinya sekarang dan bertitik tolak dari penemuan tersebut, Marcel bergerak secara Lone Ranger tanpa teman, tanpa saudara dan tanpa tau ada yang sedang menantinya pada zaman ini.

Kesudahan kisah Hizal, Tengku dan Nik tidak berakhir disitu sahaja malah pengembaran mistik menanti dengan penuh saspen dari helaian ke helaian yang seterusnya. Dunia Jin dan manusia sudah mula bergolak mencari kitab yang dicuri oleh Namtar [Jin]. Tidak terkecuali ketiga orang pemuda manusia ini yang mempunyai susur galur yang akan menjadi kegerunan makhluk di alam Jin.
Mentera Hitam [Dari lensa Mat Gorn]
Terbaik dan menghiburkan. Mungkin ada yang takut untuk membeli kerana melibatkan sejarah melayu melaka yang di cetak pada buku teks KBSR tingkatan tiga tersebut. Anda tidak perlu risau. Tidak perlu culas untuk membaca kerana ianya sejarah yang mudah. Siapa tidak kenal dengan Alfonso de Albuquarqe yang penah ada hasrat menakluk kerajaan melayu melaka pada tahun 1513. Kisah ini dijadikan oleh penulis untuk merobek dari sudut gelap yang tidak dapat dijangkau oleh manusiawi.

Pertarungan silat antara Jin dan Manusia menjadikan anda tidak senang duduk. Belum ditambah dengan watak Suraya yang boleh melihat Jin sejak dari kecil yang menyebabkan Marcel takut untuk bertentang mata dengannya di dalam stesyen LRT ke KLCC.

Ahhh…buku bergenre Sai-Fai ini terlalu bagus untuk itu. Serat-serat keislamannya di tuang dengan berhati-hati kedalam karya ini agar akidah pembaca tidak terpesong dalam mencari logik akal dalam suatu unsur kejadian tuhan yang manusia tidak sedari.

Anda gemar membaca? Kenapa tidak menjadikan buku ini pelengkap kepada fantasi anda. Bagi yang mempunyai rak buku di rumah, jika tiadanya buku ini disisip di kecelahan judul-judul buku terpilih anda, maka sesungguhnya rak buku anda adalah cacat! Sungguh!

Dapatkan naskah Mentera Hitam karya Serunai Faqir di kedai buku berhampiran anda.

Serunai Faqir: http://www.serunaifaqir72.blogspot.com/

Serunai Faqir cilok sama Gayour ini gambar. Gua pulak cilok dari Serunai Faqir.
kot sesapa nak cilok gambar ni dari gua plak...mengadap la dengan bro Gayour!
hahahaha...

kredit:
Terima kasih buat SF kerana bagi cilok mencilok gambar ni.
Teknik menutup perut menggunakan buku amatlah ampuh
walaupun ianya telah diguna pakai oleh pengawas pusat sumber sejak berpuluh tahun yang lampau.
syabas SF!



Nota:
Tidakkah anda perasan yang penulis menggunakan kata ganti nama ‘aku’ berbanding ‘gua’ dalam tulisan-tulisan sebelum ini. Kalau anda perasan akan kelainannya, Anda sememangnya terer. Hahaha…
[terkulat-kulat gua menaip perkataan ‘aku’. Dasyat sungguh!]

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP