Saturday, June 19, 2010

Alangkah ... Memancing

Sumber asal gambar (kredit kepada) : Picsdigger

Memancing memang suatu kenikmatan yang sukar dilafazkan dengan perkataan. Ia merupakan suatu perkara yang mengasyikan bagi mereka yang gemarkan hobi ini. Suatu masa dahulu, di kampung, saya memang suka memancing. Pantang ada masa terluang, memancinglah jawabnya. Ketika berada di sekolah rendah, saya dan rakan-rakan selalunya mengikut kumpulan memancing yang lazimnya diketuai oleh Pak Husin (klinik desa Parit Jawa, Muar). Kiranya macam otai lah kedudukannya. Banyak perkara dan petua yang diajar dan dikongsikan sambil memancing.

Bagi saya, Pak Husin memang seorang berkebolehan. Bukan sahaja memancing, pelbagai aktiviti yang dilakukannya - termasuklah meracik ayam hutan, pikat burung, kutip lokan dan sebagainya. Sehinggalah suatu masa aktiviti memancing terhenti seketika apabila allahyarham Mamat (budak klinik desa - anak allahyarham Pak Rauf) meninggal disebabkan memancing. Menurut ceritanya, allahyarham menghempas ke tanah apabila pancingnya terkena ikan Lundu (sebutan di tempat saya - sejenis ikan kecil yang seakan sembilang/keli yang selalu mengacau keasyikan memancing).

Tapi tidak lama, aktiviti memancing diteruskan juga. Apabila berada di sekolah menengah, saya masih lagi memancing - biasanya batang pancing kami diperbuat daripada buluh yang diambil sendiri di pinggir hutan. Kalau sesak-sesak sangat, saya gunakan botol air mineral sahaja dan disangkutkan dengan pelampung kecil - ini kes ketagihan memancing yang bersangatan. Tempat memancing tak kira - lopak, sungai, kolam, lombong, parit besar, kuala dan sebagainya. Kata kawan saya Azhar Tekpi, "Di mana ada air, di situ ada ikan!"

Tetapi setelah memasuki alam kampus, semua itu saya tinggalkan. Balik pun, saya tidak memancing lagi, sehinggalah habis alam kampus saya chambering di Muar. Ketika itu saya sudah berpindah ke Sungai Abong, meninggalkan pekan Parit Jawa yang penuh dengan jutaan kenangan. Jadi, lazimnya apabila habis waktu pejabat ketika chambering, saya akan memancing di parit besar di hadapan Taman Damai. Kadangkala saya memancing malam, ditemani oleh adik saya, Azrul. Ada waktu pula, saya dan adik akan ke kolam bela ikan milik allahyarham bapa kawan kami, Yasir di Bukit Mor.

Dan kalau ke bergendang di Kedah, berlabuh di rumah tok guru di Pendang - saya akan memancing di petak bendang dengan anak tok guru. Hishhh ... seronok sakan kalau umpan dijamah ikan. Ikan keli, ikan limbat. Tak kira memancing, kalau sudah seronok, hantu, jembalang, hujan, panas semua saya redah - janji dapat duduk dan memancing. Aduh, seronok, seronok ...

Semua itu menjadi kenangan terindah sewaktu di kampung. Kini, saya tidak lagi memancing, hanya memancing dan memburu ilham untuk menulis sahaja. Batang pancing yang saya beli sebelum berkahwin dahulu, hanya tersandar di sudut meja tulis sebagai penguat semangat bahawa suatu masa nanti saya akan memancing lagi. Cuma masa sahaja akan menjadi penentu. Oh alangkahnya memancing ...

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP