Wednesday, June 23, 2010

Ikon Membaca PNM - Michelle Yeoh?

Saya tidak pasti sama ada peminat buku dan sastera mengetahui akan perihal. Saya pun tidak tahu, hanya kebetulan saya terbaca blog Roti Kaya, barulah saya mengetahui akan berita ini. Dikatakan bahawa artis Michelle Yeoh menjadi ikon membaca 1 Malaysia dilantik oleh kementerian berkenaan. Saya tidak mudah mempercayai berita-berita yang sebegini, tambahan pula dari laman web gosip hiburan artis.

Sumber Gambar Michelle Yeoh : Comic Movie

Untuk memuashatikan saya, saya taip perkataan 'Michelle Yeoh dilantik sebagai Ikon Membaca 1 Malaysia' di enjin carian Google. Ya, hasilnya memang benar dan sohih berita yang saya baca di laman web gosip tersebut. Utusan online menyiarkan berita tersebut seawalnya, kemudian disanggah oleh penulis lain, juga di dalam Utusan Online, bertajuk, "Michelle Yeoh Saja Rajin Membaca?" Wah, ini merupakan satu tamparan hebat kepada pengkarya di sini. Di dalam Mstar Online juga menyiarkan berita yang sama. Juga di dalam Kosmo Online juga menyiarkan perkara ini. Juga terdapat di laman blog Wartawan Hiburan. Selain itu tersiar juga di blog Faisal Tehrani.

Dan banyak laman web yang menyatakan perkara yang sama. Saya kira, saya yang terlambat mengetahuinya. Wow, hebat benar dalam segala produk, pekerjaan, pendekata apa jua sahajalah majlis, termasuklah majlis sastera (kadang kala, bukan semua) terpaksa memanggil artis agar ada daya tarikan. Tahniah. Saya tidak menyalahkan perihal yang berlaku ini, melainkan memikirkan apakah yang sedang berlaku dalam dunia perbukuan dan sastera tanah air. Apakah yang ingin disampaikan? Rakyat Malaysia tidak suka membaca, lantaran itu, seorang artis besar (bukan salah artis itu pun, dia dijemput) perlu sebagai duta untuk menggalakan supaya rakyat Malaysia rajin membaca?

Bagaimana dengan cerita ini, bahawa rakyat Malaysia suka membaca? Baca di sini. Bagaimana dengan berita yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia belanja RM 1 billion untuk membeli buku (berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Dewan Industri Buku Melayu pada 2007), sedangkan kisah artis ini dilantik menjadi duta hanya pada tahun 2010? Berita yang ditampal di laman web ITNM oleh Zaini Ujang (wartawan Berita Harian) juga mengatakan tentang peningkatan kesedaran terhadap membaca.

Kempen itu bagus, tapi mengapa Michelle Yeoh? Kurang sudahkah para sarjana dan sasterawan di tanah air untuk dilantik menjadi ikon membaca? Apakah nama-nama mereka tidak mampu menarik perhatian umum untuk ke sana? Daripada Michelle Yeoh, baiklah diletakkan Siti Nurhaliza (yang lebih comel dan bagus suaranya ... hahaha, tapi saya bukan peminat Siti Nurhaliza, saya peminat Search, May dan Wings dan lain-lain - yang rock dan metal sahaja). Tentu lebih ramai umum yang hadir, kalau 'ramai' itu yang dimaksudkan.

Ya, sudah tentu kementerian dan PNM mempunyai alasan yang tersendiri dalam perihal ini. Tapi, yang pentingnya rakyat Malaysia sebenarnya suka membaca, tapi mereka tidak bising. Lihat sahajalah blog ulasan membaca yang bertebaran di inernet. Itu merupakan satu gambaran kecil saya, daripada keseluruhan orang yang minat membaca. Bagaimana dengan fakta ini yang mengatakan bahawa premis-premis buku yang dahulunya dikuasai oleh pasaran buku Inggeris membuka ruang kepada buku-buku Melayu?

Orang Malaysia memang minat membaca!

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP