Saturday, May 22, 2010

Gagasan Persuratan Baru : Pengenalan Dan Penerapan

Buku ini saya dihadiahkan oleh rakan saya, Johan Ariff. Semalam bertemu dengannya, sebelum beliau berangkat ke Brunei dalam masa yang terdekat ini. Memang sudah lama saya mencari buku ini, kerana sebelum ini saya memang tertarik terhadap pembacaan novel Mohd. Affandi Hasan, berjudul 'Jejak Warisan'. Mungkin saya tidaklah mengikuti sangat perkembangan beliau namun namun semua novel karangannya saya beli selepas membaca novel JW. Tampang Sasterawan, Citra Pujangga, Wajah Pendeta, Aligupit dan terakhir yang saya beli pada lewat tahun 1998 (saya terlupa tajuknya).

Bagi saya ada suatu kelainan yang beliau bawakan dalam karangannya; meskipun tidak saya fahami apakah maksud beliau yang sebenarnya ketika itu. Kata teman-teman saya di UKM dahulu, membaca JW akan menjadikan seseorang itu seumpama cendikiawan seusai menghadamnya. Begitulah impak JW yang melanda kami. Selepas itu, saya hampir kehilangan semua karanganya apabila ramai teman yang lebih suka meminjam dari membeli.

Berbalik kepada buku yang berjudul di atas adalah hasil gabungan Mohd. Affandi Hasan, Prof Dr. Ungku Maimumah Tahir dan Mohd. Zariat Abdul Rani membicarakan soal besar dalam dunia sastera yang lebih disenangi dengan istilah dunia kepengarangan, menurut Mohd. Affandi berkenaan dengan gagasan persuratan yang lebih menjurus pada nilai-nilai Islami dalam sesebuah karya. Bukan itu sahaja, bahkan perbincangan beliau (saya baru membaca tulisan Mohd Affandi) merangkumi aspek-aspek terpenting dalam pengkaryaan untuk membolehkan ia diangkat sebagai karya Islami. Bertitik-tolak dari itu, bicara berkenaan anugerah sasterawan juga disentuh secara rinci. Banyak lagi yang diperbincangkan dalam buku ini.

Saya masih lagi membacanya. Nama beliau sudah saya maklumi sewaktu di UKM, tetapi di awal zaman bekerja saya, baharulah terdengar nama ini agak 'panas' dengan kenyataan-kenyataannya yang menyentuh secara langsung terhadap dunia sastera tanah air. Pernah suatu ketika saya mengikuti tulisan beliau di dalam akhbar Mingguan Malaysia yang saling hujah berhujah antara beberapa sasterawan. Polemik itu berlangsung pada beberapa keluaran dan ia sangat menarik perhatian saya sebagai seorang pembaca.

Pun begitu, saya masih lagi menghadaminya. Jadi, tidak wajarlah saya memperkatakan tentang buku ini. Tambahan pula apa yang dihadapkannya itu perlu dibaca dan difahami dengan teliti. Dan tentunya ia harus dibaca dengan fikiran yang terbuka.

Bagi saya pula, apa yang penting adalah terus menulis dan cari sesuatu di dalam diri. Menulis adalah menegur diri sendiri. Hasil teguran itu terbias pula pada cakerawala pemikiran masyarakat atau mungkin biasan pelita hati masyarakat. Sandingkan tauhid dan fekah di atas pelamin tasauf, bak pepatah pujangga sufi. Ya, masih terpulang kepada individu itu sendiri untuk menggayakan laras istinggarnya, mahu ke mana diarahkan peluru masing-masing.

Beberapa laman yang berkaitan :
Fikirasa
Rausyanfikir
Tintakeris
Utusan Malaysia
Ungku Maimunah
Ahmad Awang

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP