Thursday, May 13, 2010

Catatan Pilu Di Pestaka Ilmu

Sudah berapa hari, hati saya bagai digaru-garu untuk ke Kedai DBP lagi. Seakan ada sesuatu yang menanti saya di sana. Akhirnya, seawal pagi lagi kereta saya bersusun baris di parkir B3. Ada sesuatu yang menggamit saya untuk lekas-lekas sampai ke kedai buku. Jam 9 pagi, saya sudah meninjau-ninjau isi perut kedai yang serba lengang dan hanya dipenuhi oleh warga kerja di situ. Saya berpusing-pusing, mata melingas tajuk-tajuk majalah dan pohonan rimbun warkah yang berlambakan tapi terurus rapi (tidak seperti tahun-tahun lepas, pandangannya amat menyayukan bagi seorang pencinta buku).

Pun begitu, kedai buku ini lengang. Tapi saya senang sekali dengan keadaan begitu; entah kenapa. Mungkin ketiadaan suara-suara remaja seperti di premis-premis buku lain, menyebabkan saya berasa tenang dan nyaman sekali. Dari hadapan ke belakang saya berekplorasi. Mata saya masih lagi melingas. Ya, selepas tersiarnya kisah DBP dan Dawama di akhbar Berita Harian tempoh hari, hati saya optimis mengatakan bahawa selepas ini pasti ada tindakan yang akan dilaksanakan demi menyelamatkan maruah buku-buku yang beku dan kaku di barisan rak-rak yang kejung di situ. Dan mungkin, saya tidak perlu lagi, menekan-nekan brek kereta dan bersesakan untuk datang ke kedai yang agak terpencil dari laluan sutera komersil.

Ya, saya berjalan lagi. Kali ini lebih perlahan dan mata saya bagaikan kamera meneliti tajuk-tajuk yang terpapar. Dengan menemukan novel sendiri yang merah berdarah, tidak terjual, saya hanya senyum. 'Oh novelku....' Namun saya tidak berkecil hati, terus sahaja saya ke belakang, hati saya kepingin pula untuk mencari buku-buku yang berkaitan dengan seni budaya. Tapi malang sekali, hanya beberapa buah buku yang tertegun sepi di rak belakang. Alangkahnya ironi dengan tajuk majalah Dewan Budaya. Bukan sahaja budaya dipinggirkan, malah buku dan makalah berkaitan dengannya juga terpinggir. Malang sekali.

Selesai membeli beberapa warkah, saya ke tingkat 5 demi melangsaikan dahaga yang kian melekat di rengkung. Beberapa patah perkataan dilayangkan pada teman yang berkhidmat di situ, tapi tiada balasan. Yang kedua menyusul, pun tiada balasan. Akhirnya saya menikmati sarapan pagi bertemankan Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Kosmik dan Pelita Bahasa yang lebih mudah diajak berbicara. Paling menarik novel S.Othman Kelantan, 'Ruang Perjalanan' menemani perjalanan pulang saya pagi ini.


Sinopsis :

Novel yang sebenar adalah tentang manusia, bukan cerita. Manusia yang sebenar adalah himpunan idea. Idea itulah yang menentukan keintelektualan makhluk manusia di muka bumi yang dapat menguasai segala bidang kehidupan. Novel Ruang Perjalanan merupakan novel idea seluruhnya tanpa cerita. Ia hanya lontaran idea dan pemikiran manusia tentang kehidupan masa lalu, sekarang dan akan datang. Tidak ada gerakan fizikal yang bererti selain gerakan dalaman yang menunjukkan bahawa manusia itu adalah akal fikirannya. Ruang Perjalanan adalah satu ruang yang membelah tradisi penulisan novel di negara ini. Ia ingin meneroka kepada perjalanan psikologi manusia, menganalisis sejarah dan masa depan. Sebagaimana lumrah, idea manusia itu akan bertentangan dengan suatu idea yang lain, dan berkemungkinan akan menjadi lemah apabila muncul idea lain yang lebih kuat dan bermanfaat. Dalam situasi yang gawat begitu, idea up-to-date Islam yang berdasarkan al-Quran dan hadis adalah satu-satunya yang unggul yang boleh membawa manusia ke ruang perjalanan hidup yang hakiki. Semuanya ini terakam dengan seada-adanya dalam novel Ruang Perjalanan ini. " (sumber sinopsis - di sini)

4 comments:

Ibnu Ahmad al-Kurauwi 8:07 PM  

Tuan Serunai,
Salam ziarah. Ziarah kemudian menyapa lebih mulus daripada ziarah berseorangan menafsir diri. Dua orang yang menafsir tentunya lebih baik daripada bersendirian. Jemputlah memanjang langkah ke teratak hamba di tingkat 30.

sf,  1:35 PM  

Ustaz,

Terima kasih atas jemputan. Benar apa yang diperkatakan oleh ustaz. Tetapi seorang bersuyian adakala lebih tenang daripada beramai-ramai. :)
Insya-Allah, saya sampai ke tingkat ustaz akan datang.

ahadancoach 2:57 PM  

apa nak dikata....begitulah ceritanya harap2 ada pengislahan dalam pengurusan...

sf,  8:22 AM  

Abg Bro - harapan kita semua begitulah.

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP