Wednesday, January 27, 2010

Long Cold Winter - Long Live Rock n Roll!

Lagu dari kumpulan Cinderella, Long Cold Winter berkumandang di selfon aku petang tadi. Segala kunci kenangan menerjah dan membuka semula pintu kenangan aku pada zaman persekolahan aku dahulu. Entah kenapa kebelakangan ini rajin benar kenangan-kenangan lama tertayang semula di layar benakku. Dan lagu ini adalah salah satu darinya. Zaman aku tengah gila berocking dan heavy metal. Zaman-zaman seluar 'pensel', zaman-zaman seluar bukat dan baju yang dihiasi dengan pelbagai gambar dan lambang kumpulan rock dan metal. Ketika ini adalah zaman aku mula menjiwai irama ini dengan sepenuh hati.

Kata orang, zaman untuk mencari jatidiri dan ketika itu, jatidiriku adalah seorang rocker yang gemarkan irama-irama yang membingitkan. Kata orang lagi, irama protes, irama pembantahan dan suatu peluahan emosi secara tersusun dan tidak menganggu orang lain. Hanya kebisingan itu sahaja kadangkala menjadi bingit di telinga orang, tetapi menjadi halwa telinga yang paling enak di telinga aku.

pic source : Hard Rock Hideout

Ketika itu juga, aku tak faham sangat kenapa orang tua-tua cukup jaki dengan bunyi gitar dan ketukan dram yang bising ini. Setahu aku zaman mereka juga dilanda ago-go, pop yeyeh. Tapi apabila zaman gitar yang bising melanda, kami dipandang terlalu hina. Aku cuma mampu ketawa sahaja, dan hingga kini telinga aku masih sedap menikmati irama sebegini. Mungkin hanya mereka yang tercebur ke dalam dunia sahaja yang akan memahaminya.

Tambahan pula, muzik bising sebegini mempunyai mesej yang padat serta membawa kepada suatu fenomena yang mengangkat dan mendasari kehidupan serta keboborokan manusia seantero. Bukan salah sesiapa pun, tapi zaman yang beredar akan membawa pusingan suasana yang tersendiri. Lihat keadaan yang berlaku sekarang, muzik apakah yang menguasai pasaran? Hanya berkisarkan cinta melankolia yang tak memasal. Berbanding dengan muzik pilihan aku, lebih kepada pemberontakan jiwa terhadap sesuatu isu dan fenomena dunia. Ya, dunia, ada macam-macam pengaruh sebenarnya yang tidak terlihat dek mata kasar kita.

Keagungan penjajah dalam membasuh pemikiran anak-anak muda, khususnya orang Islam bukanlah suatu perkara yang baru. Termasuklah zaman aku ketika demam rock melanda. Namun yang membezakan kami dengan muzik sekarang adalah wujudnya jurang perbezaan yang besar. Muzik di zaman aku lebih komplikated dan mencapai zaman kegemilangannya. Tidak seperti zaman ini yang hanya mengitar semula muzik yang ada. (Jangan marah aku, ini cuma pendapat aku).

Tapi zaman berubah, suasana, umur, persekitaran lebih mematangkan aku. Namun sekurang-kurangnya aku lebih faham dunia sebegini daripada sesetengah orang yang melabelkan kumpulan Iron Maiden dan Metallica sebagai balck metal! Kelakarnya! Dan zaman juga sudah mengubah aku kepada seorang yang lebih mencintai budaya aku sendiri, iaitu gendang silat. Betapa zaman itu membuka jendela pemikiran dengan lebih luas, yakni mencintai budaya sendiri adalah lebih bagus dan mulia daripada memuja budaya orang luar.

Sebab itu aku memilih perkataan Serunai sebagai nama pena awal sebelum faqir. Sebabnya, apabila aku bergendang sana-sini, ramai orang Melayu kita yang bertanya, "Apa benda yang awak tiup?" Kata saya, "Serunai..." Timbullah dalam pemikiran aku, kenapa terjadi perkara sebegini. Dan jawapan yang aku temui adalah kerana orang Melayu sendiri tidak pernah ambil tahu dan tak mahu ambil tahu tentang budayanya sendiri (bukan semua tapi kebanyakannya). Menyedihkan tapi itulah realiti yang berlaku.

Apa pun aku bersyukur kerana diberikan perjalanan hidup aku melalui zaman rock n roll dan heavy metal, dengan itu aku dapat membezakan budaya siapakah yang lebih bernilai, antara serunai dan gitar, mana lebih nilai estetikanya. Namun telinga aku masih menyukai irama rock ini walaupun irama baru sudah menjelang, dan aku digelar sebagai old school. Tapi tidak mengapa, semua itu berlaku dalam hikmah.

Itu belum lagi aku ceritakan irama muzik Thrash Metal yang menjadi kegemaran aku suatu waktu dahulu, tapi tak mengapa. Nanti ada masa, aku akan ceritakan di sini.

Entri lama tentang dunia rock aku - di sini.

3 comments:

kak ila 6:35 PM  

sf. kak ila tak nak komen pasal n3 baru ni. cuma nak tanya pasal gambar awak di profile. kanapa buat dibakar macm tu dik? apa maksudnya? kadang2 apa yg difikirkan org seni, sukar difikirkan org lain. akak tak faham.

Cikgooden (Selumbar Emas). 2:37 PM  

salam bro...

zaman metal...baju hitam..rambut tutup mata...jgn tulis la....ko buat aku terkenang zaman muda2 la bro..ahakakakakakak....

moga maju jaya...

ahadancoach 2:50 PM  

huh!! kenangan yang tak luput dek hujan tak pupus dek zaman(betul ke ne. memang yer..kalau dulu mendengar sambil menjiwai muziknya yang best tapi kini mendengar menjiwai bait-bait ayat yang sarat mengandungi mesej....

rock tetap rock...

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP