Thursday, January 21, 2010

Ke Mana Agaknya Fiksyen Sains dan Fantasi Membawa Diri?

Anugerah sastera perdana sudah berlalu, namun masih tiada tanda-tanda bahawa karya Fiksyen Sains dan Fantasi akan duduk sebaris dengan karya konvensional atau berdiri di atas pentas. Jauh lagi perjalanannya. Atau dengan perkataan yang lebih mudah difahami, fiksyen sains dan fantasi adalah garapan karya yang masih dan terus akan terpinggir tanpa sebuah pembelaan dari mana-mana pihak yang berkenaan.

Seperti kata Fadli, besar kemungkinan anugerah yang khusus patut diadakan kerana ia mempunyai disiplin dan keunikannya yang tersendiri. Saya yakin suatu masa ia akan berlaku di sini, lambat-laun akan ada badan atau organisasi yang mengambil tugas itu secara khusus. Itu satu perjuangan bagi para pengkarya dan pecinta genre ini. Namun bilakah ia akan berlaku, mari kita sama-sama menggerakkan ke arah itu.

Genre ini bagi saya sebenarnya mempunyai masa depan yang cemerlang sejajar dengan kemahuan dan kehendak khalayak masa kini tanpa berprejudis terhadap karya-karya sastera yang sedia ada. Meskipun dilabel oleh kebanyakan pihak sebagai suatu aliran karya yang menyimpang jauh dari tatasusila pemikiran dan kewarasan manusia biasa, namun ia punya intipati dan pengaruhnya yang tersendiri. Dewasa menyedari akan kurangnya minat khalayak terhadap sastera meski berbelas anugerah dan hadiah yang diadakan saban tahun, namun sastera kita masih di takuk yang sedia ada.

Jadi, moleklah benarlah karya bergenre atau berciri-ciri genre ini diberikan laluan untuk bernafas dalam dunia penulisan masa kini. Sudah sampai masanya, pihak tertentu mengakui bahawa pengaruh dan impak yang dibawa oleh aliran genre ini sangat besar. Ya, apa-apa pun ia bergantung kepada pengkarya sastera ini untuk membawa sejauh mana yang mungkin bagi memartabatkan penulisan yang dikatakan kuat berimiginasi. Apa pun menulis itu sendiri pun adalah imiginasi sang penulis. Tiada beza, cuma ciri-ciri karya itu sahaja yang membezakannya.

Kalau saya berdaya suatu masa nanti, saya akan menggembeling tenaga dengan mana-mana badan untuk emngadakan anugerahnya sendiri. Biarpun ia tidak dapat menandingi keeksklusifan mana-mana anugerah penulisan, tapi saya percaya ia pasti akan mendapat perhatian umum kelak, insya-Allah.

Memikirkan tentang itu, saya teringat ke mana agaknya pergi pepatah yang selalu diwar-warkan, "Jangan menilai sesuatu melalui kulitnya." Apakah ia mampu untuk digunakan bagi karya aliran ini?

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP