Monday, January 04, 2010

Gendang Dan Sastera

Dalam masa seminggu ini, banyak perkara dan kenangan yang memenuhi buli-buli fikiran saya. Pertama, menerima tetamu dari bumi Temasik yang bersungguh-sungguh datang ke sini untuk mempelajari seni pergendangan Melayu. Jauh serta mahal perbelanjaan mereka, tapi kalau sudah minat, semua itu kecil sangat. Bagi kami yang menjadi tuan rumah, rasa terharu dan berbesar hati sangat kerana ada orang jauh sudi menerima dan mengambil warisan ini untuk dibawa dan dikembangkan pula di tempat mereka.

Dua hari bersama mereka sebenarnya amat seketika. Dan dua hari itu jugalah, sambil mengajar, saya belajar sesuatu daripada mereka. Tentang kehidupan, tentang budaya dan kisah-kisah orang kita di sana. Saya dan rakan saya, Shahrul rasa terpanggil amat untuk mengongsikan mana yang termampu dan boleh. Apa-apa hal pun pelajaran asas dititikberatkan terlebih dahulu, kemudian nanti barulah pada pelajaran yang seterusnya.

Biarpun mereka sudah kembali ke Temasik, namun perancangan untuk datang buat kali kedua, sudah diatur. Kalau tiada apa-apa aral melintang, bulan Mac nanti, mereka akan sampai lagi. Saya cuma pesan kepada mereka agar ambillah bersungguh-sunggu, sayangilah budaya sendiri dan kalau boleh kekalkanlah di sana nanti, jangan sampai mati lagi. Ini kerana menurut salah seorang guru kami, di Temasik dahulu ada permainan sebegini tapi sudah pupus entah dek kerana apa, tak tahu. Mereka ke sini dengan seribu harapan, dan kembali meninggalkan seribu kenangan pula untuk kami. Moga-moga hasrat mereka untuk mewarisi permainan ini akan tercapai dengan izin Allah.


Itu satu perkara. Semalam, saya mengendalikan bengkel penulisan novel AVA buat kali kedua. Entah apa agaknya hikmah. Saya terlambat, Nisah juga sedikit lambat, bilik berkunci dan terpaksa menggunakan bilik lain. Semuanya serba terlambat tapi alhamdulillah, segalanya dapat diatasi dengan izin Allah. Menerima perserta daripada pelbagai latarbelakang dan budaya kerja yang berbeza merupakan satu tugas yang amat mencabar sebenarnya, dan lebih-lebih lagi Nisah yang mengendalikan sepenuhnya sesi membedah. Saya dan sdr Farid (MC) di bahagian pengurusan.

Ada beberapa perkara yang mencuit hati saya sepanjang perjalanan bengkel tersebut. Bertemu dengan salah seorang perserta yang menceritakan kisah hidupnya disihir adalah sesuatu yang tak terduga. Saya amat terharu kerana memang benarlah bahawa pada apa zaman jua sekalipun perkara-perkara seperti ini tidak akan berkesudahan. Dan akhirnya, bangsa Melayu juga yang tercedera. Itu belum dikira lagi soal politik, ekonomi dan budaya; sudah tentu. Dan kini, akhirnya saya sekali lagi bekerja sendiri, bebas dan mencari jalan sendiri untuk meneruskan kehidupan. Semua dek kerana orang Melayu juga. Semuanya kerana ada perangai yang mahu menjatuhkan orang lain.

Namun saya bersyukur seribu kali, kerana apa yang terjadi, itulah yang telah tertulis. Saya redha dan yakin bahawa di mana-mana pun ada rezeki Allah. Dan tentunya saya yakin bahawa apa yang diperkatakan kepada rasulullah bahawa rezeki terbesar adalah dalam perniagaan. Wuallahua'lam. Semuanya ada dalam hikmah yang tersembunyi. Saya pasrah dan berusaha untuk mencari rezeki yang halal. Hendaknya itulah hikmah yang terjadi itu menjadi pengarjaran buat saya serta mengingatkan diri bahawa betapa kecilnya manusia di hadapan mimbar-Nya. Termasuklah manuskrip Dewangga Sakti 2 yang ditolak penerbitannya setelah hampir dua tahun menanti.

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP