Tuesday, November 03, 2009

Lagukan Senandung Itu - Penjengahan Semula

Lagukan Senandung Itu adalah novel pertama garapan saya. Ketika memandangnya kembali, saya dapat merasakan bahawa itulah usaha kecil saya untuk memperkenalkan dan memartabatkan semula seni budaya Melayu yang saya akrabi sejak sekian lama; seni pergendangan Melayu. Bertitik-tolak dari bengkel cerpen yang diladeni oleh sasterawan Zaharah Nawawi, kami dimaklumkan bahawa DBP ketika itu memberi peluang kepada ahli KEPEZI untuk menulis novel berlatar belakangkan industri.

Tiada lain yang terpamer di benak saya melainkan serunai, gendang dan gong. Wajah-wajah guru dan teman bergendang bagaikan ditayang semula di layar fikir. Saya fikir, inilah peluang saya untuk mengabadikan jasa-jasa mereka yang sekian lama dipandang sepi oleh masyarakat. Takdirnya saya mengenali dunia pergendangan terlebih dahulu sebelum saya bersahabat dengan dunia penulisan. Jadi, inilah peluang terbaik untuk saya mengangkat salah satu seni permainan orang Melayu yang amat dekat di hati saya.

Maka terhasillah Lagukan Senandung Itu dalam keadaan serba sederhana, tiada pengalaman menulis novel. Sesekali terasa maklumat pergendangan yang dicurahkan agak menyesakkan pembaca untuk memahami apakah sebenarnya yang ingin saya sampaikan di dalam karya saya yang kecil itu. Penantian hampir dua tahun setengah ia diterbitkan memang berbaloi, walaupun jualannya amat lemah sekali di tangan mereka. Itu tidak mengapa, sekurang-kuranngya, ia merupakan wadah pertama untuk saya menterjemahkan dunia pergendangan Melayu melalui cara kreatif.

Teman-teman, guru semua saya hubungi untuk mengabung jalinkan segala pengalaman dan cerita agar dapat disatukan dalam novel ini. Meskipun ia tidak mendapat perhatian dari pihak kebudayaan, namun saya fikir (begitu sahaja orang seni dan budaya), inilah usaha saya untuk memperkenalkan semula permainan orang Melayu yang sudah suam-suam kuku; semakin dilupakan. Juga menintakan nama pena Serunai Faqir sebagai satu manifestasi kecintaan saya lewat seni budaya Melayu. Dalam novel ini, saya cuba pamerkan keindahan seni bergendang dengan cara yang sederhana, walaupun mendapat kritikan yang hebat, namun saya tetap bersyukur. Banyak yang saya belajar dari pengalaman pertama ini.

Ya, sesiapa pun akan merasai pengalaman pertama apabila menekuni sebuah novel yang pertama. Terasa bagai ingin meletakkan semua perkara di dalam novel itu, hingga menyebabkan saya sedikit alpa tentang penceritaannya yang harus diutamakan. Dek kerana itu, ia menjadi buah pengalaman yang manis untuk saya kecapi bagi proses pembikinan novel yang seterusnya.

Pengalaman memperbetulkan gambar kulit luar (gendang) juga adalah salah satu perkara yang saya titikberatkan. Pada asalnya ia merupakan gendang gamelan, saya katakan kepada Sinaganaga, ia sepatutnya wajah gendang silat Melayu aliran utara. Alhamdulillah, Sinaganaga yang baik hati menjemput saya ke pejabatnya untuk mengambil semula gambar yang lain.

Apa pun, menulis novel ini adalah merupakan satu kepuasan yang tidak terhingga walaupun ia tidak ke mana. Apa yang penting adalah saya belajar untuk menyeimbangkan segala maklumat dan pengetahuan dan penceritaan. Di manakah kedudukan novel LSI sekarang ini, sya tidak pasti, tapi yang saya tahu jualannya amat lembap. Wuallahua'lam.

2 comments:

Tuah Pengembara 2:07 PM  

usaha yang murni ....

Bunnybaby 11:08 AM  

Salam.

Saya sudah lama selesai membaca novel yang ini, tapi belum sempat menuliskan ulasannya. Ada dalam kepala. Tunggu masa yang sesuai (maaf, alasan klise) untuk mencurahkannya keluar.

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP