Monday, June 22, 2009

Majlis HSKU 2008 - Istana Budaya

Sejujurnya saat mendengar bahawa HSKU kali diadakan di Istana Budaya, saya amat teruja. Tempat ini sudah saya tidak saya jejakki setelah berhenti dari penjawat awam. Saya tahu suasana di dalamnya yang indah, bagai deja vu - saya menatap kembali dewan yang indah itu. Dan malam itu memang suatu yang pasti meninggalkan seribu kenangan yang manis. Bertemu dengan rakan-rakan penulis seperti Lutfi, SM Zakir, Azman Ibnu Al-Kurawi, Zanazanzaly, Rozais, Ummu Hani, Mawar Shafie Pak Malim Ghozali yang saya kenali, juga bertemu dengan penulis-penulis yang baru saya kenali. Majlis yang gilang gemilang itu dibuka dengan sedutan dari teater Mana Setangginya, beberapa wajah pelakon tanah air yang pernah lihat di kaca tivi bergerak di ruang pentas yang dihiasi oleh props yang pelbagai.

Saya diam, terima sahaja apa yang acara yang dipersembahkan mengikut jadual yang ditetapkan. Sebenarnya saya mengharapkan persembahan tradisional yang lebih dekat di jiwa saya. Tapi tidak mengapa, saya nikmati sahaja juadah yang dihidangkan. Kemudian sempat juga berbual-bual dengan sdr Rozlan yang bagaikan lipas kudung, ke sana-sini, berkejaran dengan AJK HSKU dan alias dengan Pengurus Pentas - fuh! Bukan mudah untuk menjayakan majlis ini, lama sudah saya tidak melalui perkara sebegini. Terima kasih saya kepada pihak Utusan dan AJK HSKU yang berhempas pulas memberikan yang terbaik. Hanya sedikit renyah berbanding dengan HSKU yang pernah saya hadiri. Apabila ditanya kenapa buat di sini?

"Bajet..."

Saya mengangguk. Majlis terus berjalan dengan beberapa ucapan, baca puisi oleh Pak Samad, ulasan laporan oleh Pengerusi Panel Hakim dan berlangsunglah acara penyampaian hadiah. Sejujurnya majlis yang dibuat dua tahun lepas lebih santai dan terbuka jika dibandingkan dengan majlis kali ini. Mungkin disebabkan tempat yang agak eksklusif, maka kaki dan tangan kami terikat dengan formaliti majlis dan suasana. Ini menimbulkan sedikit keadaan yang tidak selesa kerana tidak dapat bergerak bebas untuk berjumpa dengan teman penulis dan bersembang bual. Maklumlah jarang-jarang sekali dapat bertemu, jadi majlis sebegini sahaja yang dapat memberikan ruang untuk kami bertanya khabar dan sebagainya. Tahun ini... seperti tahun yang sudah. Ya, anuar dan misha juga ada di majlis itu. Suka juga mendengarnya tapi mungkin lebih enak jika disajikan dengan penganan budaya Melayu yang lebih sesuai dengan majlis. Kenapa mesti menghidangkan penganan luar untuk majlis kita?

Tajuk cerpen saya alhamdulillah dijadikan tajuk antologi cerpen hsku 2008 - 'Bayang Ditirai Belulang'

Apa pun majlis ini berjalan dengan lancar dan majlis HSKU 2008 sempurna hinggalah ke detik jarum jam yang ditetapkan. Tapi saya lekas-lekas mahu balik kerana anak kecil saya bagaikan memanggil saya pulang. Sebelum itu, saya tidak dimaklumkan tentang anak-anak di bawah umur 12 tahun tidak dibernarkan masuk, jadi terpaksalah anak kecil saya dihantar pulang dan tidak dapat menyaksikan peristiwa abahnya menerima pengiktirafan pada malam itu. Tapi sewaktu majlis berlangsung saya lihat ramai sahaja anak-anak di bawah 12 tahun yang duduk di barisan kerusi yang belakang. Hmmm, tidak mengapalah. Tahniah kepada semua pemenang dan tentunya kepada AJK HSKU yang menyungkur nyembam memastikan majlis itu berjalan lancar dan alhamdulillah, semua atas izin Dia. Wuallahua'lam.

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP