Wednesday, April 01, 2009

Dan Gendang Bertingkah Lagi



Keputusan telah disepakati, PPSMI tetap diteruskan di sebalik pembantahan yang konsisten dari para pejuang dan pencinta Bahasa Melayu. Selalu juga saya menyinggah blog-blog yang membicarakan perihal ini dan saya yakin bahawa inilah yang pernah dituturkan oleh Munsyi Abdullah bahawa tidak ada bangsa lain di dalam dunia ini melainkan orang Melayu sahaja yang mahu belajar bahasa orang (jangan salahkan saya, saya cuma mengemukakan kembali perkataan beliau). Sejak dari isu tulisan jawi yang telah cuba dinafikan hinggalah ke isu ini, sebarang pendapat para akademia, ahli bahasa, pejuang dan pencinta bahasa dipandang sepi oleh mereka. Buatlah apa pun, keputusan telah diambil dan ianya adalah muktamad. Namun soal memperjuangkan bahasa adalah suatu perkara yang bermusim, bahkan ia tidak akan bertemu dengan noktahnya. Ini satu perkara.

Bercakap tentang perkara ini, sebelah tubuh saya berada dalam dunia seni dan budaya. Memperjuangkan apa yang saya termampu melalui pergendangan silat Melayu. Lama sudah saya menyaksikan, mendengar, melihat, merasa, merajuk, menangis, tertawa apabila melihat satu demi satu ia dihambat, disingkir, dinafi dan diperbodohkan oleh orang kita sendiri. Terlalu pahit dalam perjuangan ini, tapi saya sudah tidak hairan lagi apabila itu berlaku kerana saya tahu kebanyakan dari kita tidak pernah ambil peduli dan mahu ambil tahu tentang seni dan budaya orang kita. Banyaknya yang tidak menggemari akan menuduh dengan segala macam isu yang bersifat remeh.

Jadi, apabila isu bahasa ini mendapat liputan dan sokongan meluas dari warga marhaen, saya timbul rasa cemburu. Orang beratur dan berbaris mempertahankan nasib bahasa Melayu yang semakin lama tergadai di bumi sendiri. Tapi dalam pada masa yang sama, saya tidak pernah pula melihat orang Melayu beratur dan berbaris serta berkumpul ramai demi memperjuangkan isu seni dan budaya orang kita yang semakin menghakis. Ujar salah seorang mantan Ketua Pengarah DBP, Dato' Dr Hassan Ahmad mengatakan bahawa, "Keruntuhan satu bangsa itu adalah apabila mereka meninggalkan budayanya." Dan ini saya fikir ia mencakupi aspek kesenian sekaligus soal bahasa. Jadi, saya tidaklah hairan sangat isu bahasa ini diremehkan kerana sejak dari zaman tok-tok guru tua lagi, saya sering mendengar keluh resah tentang isu budaya ini. Kalau tidak percaya akan perkataan saya ini, tanyalah mana-mana guru kesenian.

Namun saya tidak pernah berkecil hati dengan ini, sebab yang akan menanggungnya nanti adalah kita semua. Sama-sama kita abaikan seni dan budaya, maka sama-samalah esok nanti kita terima sahajalah apa yang akan mendatang, begitu jugalah dengan cucu cicit kita yang suatu masa nanti hanya mampu melihat seni dan budayanya di muzium buat kenang-kenangan. Yang ada cuma kebanggannya sahaja menjadi anak Melayu. Tatkala itu, usahlah menyalahkan sesiapa pun. Kalau keris dihunus pun tidak pandai, cara memegangnya apatah lagi kalau dihunus hanya untuk membelah kek dan kalau mengucup keris di sampirnya.

Oh bahasaku, oh seni, oh budaya ...

5 comments:

Wahyu Budiwa Rendra 9:55 AM  

bang sf, insya-Allah - selagi kita mampu 'berjuang' dgn cara kita; meneruskan kesinambungan seni, bahasa & budaya.

Abang Long 12:14 PM  

Memang menyampah memandang ke arah WAJAH BANGANG.

BB 12:00 PM  

Dengan kemenangan 'orang-orang itu', nampak gayanya bakal terkuburlah bahasa kita. Keris dihunus sekadar simbolik yang tidak membawa apa-apa erti, kecuali kepada orang-orang yang maha tolol yang masih menganggap betapa itu petanda kemelayuan yang masih terpelihara.

semutar hitam,  12:08 PM  

Mungkin masih banyak lagi keliru antara bebas dan merdeka. Apatah lagi makna taklif dan tanggungjawab. Barangkali.

puteri 11:02 AM  

mati bahasa
'mati'lah bangsa

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP