Tuesday, August 26, 2008

Merdekalah Bangsaku dalam Titir Gendang Geduk Gedombak dan Jerit Serunai

Serunai Ibu wayang kulit Kelantan yang dibuat oleh Pak Berahim khas untuk aku meniup dahulu

Di KL hujan turun hari-hari. Cuaca yang begini memang menyebabkan aku agak malas untuk keluar ke mana-mana hatta untuk kedai memfotostat borang-borang untuk masuk pertandingan HSPA pun aku agak culas. Dan sambil itu boleh katakan hampir hari-hari sejak minggu lepas aku dok pulun menyiapkan novel Sapta Hitam. Tapi aku yakin bahawa ada hikmah di sebalik itu. Sambil-sambil menaip, sesekali aku melayari internet untuk melihat emel dan perkambangan rakan bloggers yang terkini. Tapi hari ini aku termasuk ke you-tube dan melihat klip video Main Teri (main peteri), bulu roma aku ternaik, dada aku berdebar, jantung aku bergerak pantas apabila telingaku diterjahi oleh bunyian gendang dan serunai. Walaupun sudah lama aku meninggalkan alam Wayang Kulit Kelantan, namun bunyi serunai Kelantan itu cukup menusuk. Apa lagi, serunai untuk berlatih main wayang kulit Kelantan (Lagu Menyembah : contoh) yang aku simpan molek-molek dalam almari aku keluarkan.

Aku basahkan lidahnya yang hampir 3 tahun aku tidak meniupnya. Sreettt ... sreettt bunyinya. Aduh, jenuh pula aku mencari suara. Bukan apa, ketagihan sudah merasuk, apatah lagi lagu-lagu wayang kulit yang sering membuatkan aku mengali air mata berkumandang di dalam benak. Cepat-cepat aku cuba meniup, aduhai, cuma lagu 'Orang Darat @ Orang Kampung' dan 'Tukar Dalang' sahaja yang aku masih ingat, lagu 'Bertabuh' sudah banyak lupa. Banyak lagi lagu yang aku ingat tapi gagal. Sepatutnya lagu-lagu 'Perang', 'Pak Dogol', 'Hulubalang Berjalan' dan ada beberapa lagu yang lain selalu meniti di bibir sewaktu belajar di ASK dahulu. Aku menarik nafas panjang, megeluh juga kerana sejak kebelakangan ini hambatan waktu sering merantai aku dari melalukan semua itu. Dahulu aku bercita-cita untuk menguasai permainan serunai Kelantan dan Utara, nampaknya setakat ini, hanya serunai aliran utara sahaja yang dapat aku lagukan. Dengan keadaan barisan guru yang jauh... aku terkesima.

Keharuan mengelilingi segenap jiwa. Pasrah dengan keadaan dan masa yang terikat kini, aku cuma mampu memainkan mana yang mampu sahaja. Tapi api keazaman dalam dada tidak pernah terpadam untuk aku ikhtiarkan semula masa pada waktu yang mendatang. Tambahan pula komen di you-tube oleh pengirim klip video ini mengatakan permainan Mak Yong itu khurafat, aku jadi pilu. Memang benar-benarlah orang Melayu ini sudah tidak sayang lagi pada seni dan adat bangsa kita yang tinggi nilainya ini. Kalau ada pun cuma kajian yang bersepahan untuk mereka sangkutkan Master dan PhD di dinding kantor. Terlalu ramai yang aku jumpa di KL yang begitu. Ah, betapa bangsa aku sebenarnya sudah jauh meninggalkan kecantikan seni budayanya. Tambahan di kota KL ini, hanya beebrapa kerat sahaja yang masih sayangkan seni bangsanya. Dan tatkala itu aku sedar sangat-sangat bahawa bangsa Melayu aku masih terjajah segenap urat, nadi dan tubuhnya dengan budaya barat. Dan sesungguhnya bahawa bangsa aku masih tidak merdeka, tidak merdeka dalam erti kata minda dan fikirannya.

Dalam pada itu aku berterima kasih sangat kepada guru-guru yang telah membimbing aku dalam bidang seni dan budaya Melayu. Di tangan merekalah, aku menyedari hakikat bahawa seni orang Melayu itulah yang paling indah dan berharga. Seni bangsa aku sendiri, seni bangsa dan keturunan kalian semua. Apakah anda tidak sayang? Kepada Cikgu Deen, aku harapkan kau akan teruskan perjuangan untuk membela seni bangsa lewat zaman yang mementingkan kebendaan ini. Walaupun banyak dugaan dan cubaan serta masa yang sering mengikat, lakukanlah untuk anak bangsa kita. Kepada bangsaku yang dikasihi, aku berpesan - peganglah mana salah satu dari seni dan budaya bangsa kita untuk generasi akan datang. Agar esok nanti mereka tidak meludahi kubur kita dan berkata, "Inilah datukku dahulu yang tak mahu belajar seni bangsa dia, sebab itulah kita tak tahu secarik rabit pun!"

11 comments:

cikgooden 10:34 PM  

Fuh!..terharu aku baca n3 kau. terbayangkan kau menulis penuh kejiwaan......ha ha ha.

BRO, Berjuang sorang sorang tak kemana. Kena berkawan.

Anonymous,  11:14 PM  

Kak Za - :)

Cikgu Deen - Kau jangan berhenti meniup serunai!

sf

kangaq,  9:32 PM  

Ya... tiuo serunai lagi best dari tiup trombon.

Ainin Naufal 11:47 PM  

selamat hari merdeka. bising beno rumah aku, jet lalu lalang. macam nak perang.

s.c.h.u.l.t 2:01 PM  

menariknya!!

patutlah nama pena abg sf serunai faqir..=)

bgus! teruskan perjuangan memartabatkan budaya kita

tegezoot 10:47 PM  

gelanggang kita berbeza...

tapi perjuangan kita sama!

tegezoot 10:47 PM  
This comment has been removed by the author.
sf,  2:29 AM  

Kangaq - kau belum kena 'angin' serunai lagi, heh, kalau dah terkena baru kau tahu! Mahu tercabut Indera Bumi Bayu Adi Jata! Hehehe

Ainin - kalau 'jiwa' sudah merdeka, kita diam-diam saja.

Syud -ya, tidak syak lagi!

Tegezot - Tak mengapa, yang penting perjuangan harus diteruskan.

Web Sutera 7:20 AM  

Merdekah kita, sahabat? Merdeka apa?

Web Sutera 7:22 AM  

Merdekakah kita, sahabat? Merdeka apa? Jiwa dan pemikiran, terutama IMAN masih terbelenggu. Merdekakah kita?

Salam Ramadan.

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP