Wednesday, May 21, 2008

Perasaan Aku Ketika Membaca Garis-Garis Déjà Vu

ADA sesuatu yang tak kena bila aku boleh baca karya Jon ini. Pada mulanya aku menyangkakan bahawa ianya merupakan sebuah karya cinta letih longlai yang pasti membosankan. Aku membaca beberapa helai karyanya. Ada sesuatu yang menyentap perasaanku untuk meneruskan pembacaanku. Ketika aku membaca itu, aku membawa dua perasaan (tak dapat nak elak – semulajadi). Pertama sebagai seorang pembaca biasa, kedua sebagai seorang editor. Tapi sebenarnya pun, aku jarang sekali membaca karya bercorak cinta melankolia ini. Terakhir aku cuba membaca karya seorang penulis itu, hanya sempat 3, 4 muka surat – terus aku serahkan kepada adik perempuanku.

Ya, apa ada dengan Garis-Garis Déjà vu? Tentunya ia merupakan kisah cinta yang klise yang selalu kita lihat dan dengar dalam kehidupan kita. Cumanya garapan atau persembahan yang diutarakan bagi (orang lain tak tahulah) aku, sangat menarik dan berjaya mengheret aku masuk ke dalam penceritaannya dan terus –menerus ingin mengetahui pengakhiran cerita. Cinta? Ya, cinta telah memungkin segalanya, sepatah kata-kata seorang penyair sufi, Nizami dari Mesir mengatakan bahawa “Kalau tiada cinta, ibarat kilau emas padi yang menguning yang terlerai.” Dimulakan dengan babak bab pengenalan kepada watak-watak melalui bab 1 – 4, isu yang diangkat menjurus ke arah titik tolak pada cinta dan iman. Dari empat bab ini, terkesan ia akan akan mengheret pembaca ke lembah tertanya-tanya dan ingin mengikuti kisah ini hangar ke muka surat yang terkahir. Itu yang terjadi pada aku.

Empat watak utama yang berkembar dan saling berkaitan menjadi penggerak novel yang tebal ini. Watak Nini mencari Ashraf, Ashraf pula mencari Laila, Sulaiman mencari babanya dan juga Damien yang mencari baba (Ashraf). Disamping watak sampingan yang penting juga berkaitan dengan mereka, yakni Suraya (adik kepada Nini). Kalau diteliti cerita ini membawa pembaca jauh mengembara hingga ke bumi Jordan, England dan tentunya negeri Johor (tempat kelahiran penulis ini) – tentunya ini menjadi latar tempat yang menarik untuk dikisahkan. Saya pasti kerja rumah yang dilakukan oleh penulis agak terperinci.

Selain itu watak-watak sampingan seperti Eilen, Father Thomas Rodriguez, Jenny (kawan Damien), abang dan keluarga Ashraf, Sidek (rakan sekerja Nini) dan Pak cik Badwi (aku tak ingat nama dia) serta beberapa nama ‘Mat Saleh’ yang aku tak ingat. (ketika membuat komentar ini, novel ini telah dipinjam oleh seorang teman. Jadi aku ungkapkan mana yang terlintas di benak sahaja). Semuanya bagaikan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Isu-Isu yang diketengahkan :

1. Kisah murtadnya Suraya, memeluk agama Kristian kerana cinta, dan kerana cinta juga dia menjadi seorang aties. Hakikatnya penulis cuba melebarkan pandangannya terhadap isu yang sering menjadi ribut di negara kita. Banyak berlaku, bukan? – cinta terlarang.

2. Pelarian Ashraf ke Jordan kerana cinta kepada Lailanya (rupa-rupanya Umi, salah watu watak dalam novel ini adalah Laila yang telah melarikan diri dari kongkongan keluarganya, juga adalah ibu kepada Damien – cinta kepada seorang perempuan – cinta melankolia, macam Uda dan Dara atau Romeo dan Juliet.

3. Pencarian Damien – babanya yang didapati telah menghilangkan diri dan akhirnya barulah dia tahu bahawa Ashraf adalah babanya yang sebenar ketika di hospital melihat Umi (Laila) yang sedang sakit kuat. Kecintaannya kepada Baba menyebabkan dia dan Jenny mencari babanya yang menghilang. – cinta kepada keluarga.

4. Cinta Sidek terhadap Nini, yang membuahkan ‘hasil’ terlarang. Berlaku ketika Nini menghadapi konflik rumah tangga dengan Ashraf – cinta tidak berbalas. Akhirnya Sidek mati ditembak oleh pengganas, Numair ketika rampasan kapal terbang oleh pengganas.

5. Pencarian Nini, terbang ke Jordan semata-mata untuk meminta ampun dan meraih kembali cinta Ashraf. – cinta isteri kepada suami.

6. Kisah Numair yang jatuh cinta kepada Nini (huh!) – cinta pandang pertama! Numair (pengganas) yang jatuh cinta kepada Nini kerana ingin menebus kesalahannya, bermula dengan perasaan simpati dan akhirnya benar-benar jatuh cinta.

7. Kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib – digambarkan melalui watak (watak ke?) – burung putih, ikan yang mempunyai kalimah Allah di tubuhnya, kisah ahli nujum di padang pasir, sihir Father Thomas, perubatan tradisional (watak bomoh), hantu padang pasir yang hadir ketika ribut pasir melanda.

Kesimpulan
Jangan main-main dengan cinta! Kerana cinta manusia akan bertukar menjadi seseorang yang tidak diingininya. Dan kerana cinta juga, manusia akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya. Kisah novel ini masih lagi seputar mengenai cinta yang digarap dengan cermat dan kemas agar tidak terasa membosankan sedikit pun. Meskipun ada beberapa perkara kecil yang boleh menganggu perjalanan pembacaan (seperti unsur-unsur mistik yang membumbui dalam keadaan sederhana tapi ia menggambarkan bahawa penulis bersikap prejudis dengan alam mistik dunia Melayu yang sangat luas dan gambaran bomoh yang penipu itu tapi aku fikir ia mengingatkan pembaca jangan terlalu mempercayai karut-marut bomoh. Bukan semua ya yang mengarut). Apa-apa pun novel ini sangat menarik dari segi permainan emosi, mood, unsur-unsur saspens, cliffhanger yang baik. Dari segi penggarapan bahasa – ia agak sederhana sesuai dengan cerita yang berat (tak perlu kepada bahasa yang berat!) dan gaya bahasanya cukup meyakinkan. Sementalah pula bagi aku permainan emosi cukup mengesankan. Kebanyakan konflik diselesaikan dengan cara yang teliti kecuali kisah Numair dan Sidek yang berakhir dengan tragedi. Aku fikir kalau ia dikembangkan lagi, mungkin satu episod Garis-Garis Déjà Vu : 2 akan menyusul pula. Walau bagaimanapun tahniah aku ucakpak kepada John Norafizan kerana berjaya menyeret aku dalam kisah cinta yang luar biasa hebatnya. Teruskan usaha kau, John.

5 comments:

John Norafizan 2:58 PM  

Terima kasih.. Terima kasih bro.. Ulasan yang cukup mengujakan... tapi untuk rekod, aku tetap menghormati alam mistik Melayu ehehehe :) :) :)

Ainin Naufal 9:41 PM  

wah.. muncul sorang lagi pengulas buku nih. aku dalam bab2 mengulas ni, mmg culas. hahaha. tak reti sebenarnya.

kangaq,  10:55 AM  

Aaaa... spoiler!

Anonymous,  11:26 AM  

ain minat sangat2 dengan novel mantera hitam!! tak pernah baca novel best macam tu....

Anonymous,  11:19 PM  

Your blog keeps getting better and better! Your older articles are not as good as newer ones you have a lot more creativity and originality now keep it up!

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP