Saturday, February 17, 2007

Bicara Darwis


Saya memasukkan entri ini untuk tatapan teman2 seperjuangan saya. Disiarkan di majalah Dewan Bahasa (edisi Febuari 2006) dalam tajuk yang memperkatakan tentang 'CINTA'. Selamat menikmatinya. Entri seterusnya nanti saya ceritakan pula pengalaman manis berada di Batu Kurau, Perak selama 5 hari.
__________________________________
Rencana

BICARA DARWIS
Oleh Serunai Faqir

RASULULLAH pernah berdoa: "Ya Allah kurniakan kepadaku kecintaan kepada-Mu, kecintaan kepada orang yang mencintai-Mu dan kecintaan apa sahaja yang mendekatkan diriku pada kecintaan-Mu. Jadikanlah Zat-Mu lebih aku cintai dari air yang dingin."

Begitulah ungkapan cinta Nabi kita yang sangat halus dan mengasyikkan. Dalam bahasa yang paling indah, dalam bicara yang paling muluk baginda ucapkan kepada-Nya. Jelas kecintaan Rasulullah pastinya melebihi daripada kita semua. Lantas itu apakah lagi yang kita perlukan dalam hidup ini selain dari cinta-Nya. Begitulah dengan salah seorang sahabatnya yang bernama Abu Bakar ketika ditanya apa lagi yang tinggal padanya setelah menyedekahkan segala hartanya ketika menghadapi perang Badar. Jawab Abu Bakar, “Hanya Allah dan Rasul.”
Ujar Dzun Nun Al-Misri pula, “Oh Tuhan, di khalayak ramai kupanggil Kau junjunganku, tapi dalam kesunyian kupanggil Kau Kekasihku.’

Demikianlah ucapan beliau yang berdiam di Mesir Selatan, seorang ahi sufi besar ketika zamannya. Kota hatinya telah ditawan oleh asyik rindu kepada Sang Penguasa, namun rahsia percintaan disimpan sebaik mungkin. Lewat kerinduan kepada yang Satu telah melontarkan kata-kata yang mampu ditafsirkan sebagai konotasi percintaan yang sangat intim. Bukan hanya kata-kata sebagai luahan rasa cinta yang tidak terhingga bahkan gerak laku, tutur dan perbuatan semuanya menjurus kepada bahasa percintaan yang sangat tidak terungkapkan lagi oleh perkataan, tidak tertintakan lagi oleh kalam dan tidak terhuraikan lagi dengan perasaan.
Bahasa sekadar menjadi simbol-simbol percintaan yang maha asyik, kadangkala tidak terselam oleh kita yang berada di luar segara majnun mereka. Kebanyakannya disampaikan dalam bentuk doa, ungkapan, puisi, syair, rubai dan sebagainya sama ada yang berbentuk tersurat atau tersirat. Misalnya ucapan Rabiatul Adawiyah dalam doanya, “Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari segala yang menyibukkanku untuk menyembah-Mu atau dari segala yang merenggangkanku dengan-Mu.”

Atau mungkin sahaja kata-kata cinta yang diucap terlalu sulit dan hampir sahaja tidak mampu ditafsirkan dari pengamatan biasa seperti kata Abu Yazid Al-Bistami, “Lebur diri seseorang daripada dirinya dan makhluk lain terjadi dengan hilangnya kesedaran tentang dirinya dan makhluk itu … sebenarnya diri mereka dan makhluk itu tetap ada, hanya mereka tidak sedar lagi pada mereka dan dirinya.”

Perkataan yang digunakan agak sulit (absurd), namun firman Allah dalam Surah Al-Isra’ (Ayat 44) yang bermaksud :
“Setiap sesuatu itu bertasbih memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak dapat memahami cara mereka bertasbih.”

Tafsir ayat ini membawa maksud bahawa manusia tidak akan dapat memahami bahasa percintaan dan puji-puji dengan keseluruhannya kerana alam itu sendiri adalah majlis zikir.
Lantas pengalaman kerohanian dan rasa mahabbah yang tinggi sering sahaja menyebabkan mereka terasing dari khalayak ramai. Ini terjadi kepada seorang ahli Sufi yang bernama Uwais Al-Qarni. Secara logika akal bagaimanakah dia mampu mengenali Rasulullah sedangkan dia tidak pernah bertemu dengan baginda? Begitulah sebaliknya bagaimana pula dengan perihal Rasulullah meminta sahabatnya Umar Ibni Al-Khattab dan Ali Ibni Abi Thalib menemuinya untuk menyampaikan salam baginda. Maha Kaya Allah!

Betapa hebatnya cinta Uwais kepada Rasulullah dan tentunya kepada Maha Pencipta. Bahasa cintanya merentasi segala-galanya meski pun tidak berhuruf dan bersuara namun telah sampai kepada Allah dan Rasulnya.

Apa tidakkah cinta itu merentasi segala alam yang terbatas ini, melangkaui segala langit yang tinggi dan tentunya menembusi ketebalan bumi hingga mampu mencecah isi terdalamnya? Begitulah hebatnya percintaan mereka, sehinggakan tiadalah di dalam hati mereka melainkan Allah semata sebagaimana kecintaan Jalaludin Al-Rumi kepada Allah yang melangkaui segenap penjuru, sudut dan tidak pula dikekang oleh masa.

Dalam Mathnawinya digambarkan bahawa manusia itu sebenarnya rindu pada pengalaman mistikal pra usul di hari "alastu" sebagai kerinduan seruling untuk bersatu kembali pada rumpun bambu yang merupakan asal muasal ia tercipta. Hidup di dunia merupakan perpisahan yang sangat pilu bagi para pencinta, mereka rindu sekali kepada Rabbnya seperti seseorang yang merindukan kampung halamannya sendiri. Jiwa para pecinta selalu dipenuhi matlamat untuk melihat Allah SWT (ketika di akhirat) dan itu merupakan cita-citanya. Katanya lagi, “Tanpa cinta, dunia membeku.”

Firman Allah dalam Surah Al-Imran (ayat 31) yang bermaksud, “Katakanlah, jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Sesungguhnya cinta seorang hamba kepada Allah dan Rasul-Nya adalah dengan mentaati apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan cinta Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah dengan memberi keampunan dan anugerah kepada mereka.

Al-Sari (guru Junaid Al-Baghdadi) berkata kepada Junaid pada suatu hari ketika seorang tabib merawat penyakitnya “Semoga Allah membunuhnya, alangkah tajam pengelihatan tabib itu.” (Membunuh di sini bermaksud ‘membunuh’ dengan cinta-Nya).

Bagaimana pula penyair Sufi, Nizami menyatakan cintanya dalam sajak yang beraliran romantisme? Beliau mengatakan kasih-Nya seumpama manget yang menarik. “Apabila magnet tidak melihat kasih, bagaimana ia dapat menarik besi dengan rasa rindu sedemikian?”
Atau dalam ucapannya yang lain berbunyi, “Dan bila kasih tiada, jerami tidak akan mencari warna kuning keemasan.”

Reynold A.Nicholson pernah berpendapat tentang Ibn Al-Farid berkenaan buah bicaranya (sajak dan syair) yang luar biasa indah sebagai karya seorang seniman yang sangat kritis menata intan permata yang paling indah dan terpilih dari buah permata keilahian seperti dalam sajaknya yang berjudul Khamriyya (Syair Anggur). Syair tersebut memerikan tentang anggur kasih Ilahi yang mampu mengubat hati yang sakit kerinduan kepada Kekasihnya.

Dan terlebih berat lagi apabila cinta Ibn Arabi (yang telah dihukum zindik oleh sesetengah ulama) menampilkan bahasa cinta yang luar biasa mendalam dan tidak mampu ditafsir oleh akal manusia biasa yang tidak mencapai kedalaman pengalaman kerohanian. Kata beliau :
“Bila mana Kasihku tampak
Dengan mata apa aku melihat Dia?
Dengan mata-Nya, bukan dengan mataku
Kerana tidak seorang pun melihat-Nya, kecuali Dia sendiri.”

Pokok pangkalnya kecintaan telah membuatkan hamba-hamba-Nya menjadi asyik mashyuk lalu menjadi mabuk dan lupa di dalam hutan kecintaan-Nya. Hamka dalam karangannya yang berjudul ‘Tasauf Moden’ menyatakan bahawa Imam Malik pernah didatangi seseorang yang bertanyakan kisah mereka yang mabuk kasih Allah, beliau hanya menjawab tiada hukum bagi orang dalam mabuk.

Fenomena ini disebut sebagai syattah iaitu fenomena melahirkan kata-kata indah daripada limpahan keadaan luar sedar akibat perasaan keluarbiasaan dan ketakjuban oleh kesan amalan mendekatkan diri kepada Tuhan.

Tapi itu bukan bermaksud seseorang itu dibenarkan mengucapkan kalimah-kalimah tanpa berada di dalam hal yang sedemikiannya (fana’ atau zauq). Kecintaan itu hendaklah terhasil daripada sifat ikhlas semata-mata kerana Allah, ianya bukan sekadar pengucapan polos yang dibuat-buat dan ianya berlaku bukan dikeranakan oleh sesuatu kerana yang lain melainkan Allah semata-mata, seperti dalam Surah Al-Bayyinah (ayat 5), Allah berfirman, maksudnya berbunyi :
“Dan tidak mereka diperintah kecuali agar mereka beribadah hanya kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan agama-Nya.”

Demikianlah pula halnya dengan penyair Sufi di kawasan nusantara yang telah mengungkap bahasa cintanya kepada Ilahi seperti Hamzah Fansuri dalam kebanyakan syairnya yang dipertikaikan oleh sebahagian ulama selepasnya. Begitu juga dengan Sunan Bonang dalam tembang ‘Tombo Ati’ yang menggubah gamelan Jawa dengan memberi nuansa baru bernafaskan keislaman. Di antaranya menyebutkan bahawa ubat hati adalah “atas keasyikan zikir jangan pernah bosan.” Asyik zikir (ingat) di sini tentunya sehingga timbul rasa asyik dan cinta yang tidak terhingga kepada Allah.

Ringkasnya permainan bahasa cinta kepada Penciptanya itu adalah sebenarnya merupakan keluh-keluh rindu, asyik, mabuk, derita, cinta dan tertahankan lagi untuk kembali bertemu dengan-Nya. Maha suci Allah yang menuangkan rasa asyik teramat dalam sumur kalbu mereka hinggakan tiada terasakan cinta yang lebih agung selain daripada cinta-Nya. Lalu terhimpunlah untaian rindu lewat bahasa yang menjadi lidah kepada penterjemah rasa mereka yang terdalam.
Dalam Al-Qur'an ada menyatakan, "Barangsiapa merindukan perjumpaan dengan Tuhannya, hendaklah ia beramal saleh dan tidak menyekutukan Tuhan dengan siapa pun". (Surah Al-Kahfi : 110)

Glosari
Majnun – Gila/kasih yang berlebihan, tidak sedarkan diri
Mahabbah – Kasih cinta
Syattah – di bawah minda sedar
Tembang (Bahasa Jawa)- Tali
Tombo Ati (Bahasa Jawa) – Ubat hati

Rujukan :
1. Kisah Perjalanan Hidup Tokoh Sufi terkemuka, Ustaz Labib Mz. Tiga Dua,
Surabaya, Indonesia. 2000
2. Rabiatul Adawiyah dan Cinta, Abdul Mun’im Qindil, Pustaka Syuhada,
Kuala Lumpur. 2003
3. Menyingkap Rahsia Qolbu, Imam Al Ghazali, Penerbit Amelia, Surabaya, Indonesia.
4. Dimensi Mistik Dalam Islam, Annemarie Schimmel, Pustaka Firdaus, Indonesia. 2000
5. Dimensi Mistik Musik dan Bunyi, Hazrat Inayat Khan, Pustaka Sufi, Indonesia. 2002
6. Menggapai Cahaya Kudus, Syeikh Abdul Wahab Al-Sya’rani, Thinkers Library. 2001
7. Fenomena Kata-Kata Indah, SM Zakir. Utusan Malaysia 19/12/2004
8. Syeikh Hamzah al-Fansuri Sasterawan Sufi Agung, Wan Mohd. Shaghir Abdullah.
Utusan Malaysia 14/11/2005.
9. Syeikh Nuruddin ar-Raniri Ulama Ahli Debat, Wan Mohd. Shaghir Abdullah.
Utusan Malaysia.
10. Tasauf Moden, Prof Dr. Hamka, Darul Nu’man, 1997.

12 comments:

Gelembai 9:39 PM  

si darwis, sufi yg agung...

zf_zamir 1:44 AM  

dan dunia melayu yang cintakan material..

boleh juga buat syair tentang kecintaan melayu kepada pangkat ke..

huhu..

Pawana Malam.. 3:13 AM  

oh..sungguh dlm dan pelbagai sekali..meskipun byk term2 yg ct x dpt faham..tp cukup untuk buat ct mengkagumi entry ini..hehhehe

take care

Anonymous,  2:55 PM  

Aduh panjangnya en3! Menyiksa minda kandalah :D

~zalisa maz~

Nissa' Yusof,  1:39 PM  

panjangnya entri abg ngah=)
tahniah cerpen di majalah Nur..sudah baca.best!!

Nissa' Yusof,  1:39 PM  

panjangnya entri abg ngah=)
tahniah cerpen di majalah Nur..sudah baca.best!!

Bukunota 4:41 PM  

saya perlukan e-mel sdr utk saya hantar e-mel penting.

pohon kerjasama sf, utk e-melkannya ke e-mel saya, bukunotakaki@yahoo.com

nazmi yaakub
sastera berita harian

©Nur Raina 12:55 AM  

Salam perkenalan SF... akak membalas kunjungan. Terima kasih kerana link blog akak. Dan terima kasih kerana n3 ini memberi maklumat yang berguna untuk akak yang buta tentang ilmu-ilmu sebegini.

Hydrocodone 8:33 PM  

eZgAV2 The best blog you have!

Hydrocodone 8:33 PM  

eZgAV2 The best blog you have!

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP