Friday, November 17, 2006

Ke Negeri Darul Makmur

Tersenyum saya melihat teguran dari rakan seperjuangan saya. Terima kasih atas teguran. Sebenarnya saya tiada di KL untuk beberapa hari. Sejak dari Isnin yang lepas hinggalah semalam saya berada di Pekan, Pahang - tanah kelahiran saya yang asal. Kebetulan adik saya meminta saya menemaninya untuk urusan belajar di IKIP, saya kata ok. Inilah peluang yang baik untuk kembali setelah dua tahun tidak pulang ke kampung halaman saya. Ya bandar Pekan sudah banyak berubah. Dua tahun bukanlah masa yang terlalu lama tapi perubahan tidak menanti saya untuk terpamer ketika ziarahan kali ini. Meski begitu jiwa saya tenang sekali berada di sini. Tambahan pula di belakang rumah Aki (datuk) saya terbentang kolam yang sedia ternganga menanti dirinya disuakan pancing. Hah, apa lagi petang hari kedua jorang sudah terjulur ke mulut kolam. Puas juga menunggu, namun hanya berjaya mendaratkan dua ekor kura-kura yang sederhana besar. Saya tergelak sahaja, ditemani sepupu saya yang berusia 5 tahun. Kami sama-sama gelak kerana menyangkakan patin atau tilapia yang menyambar umpan. Sayang saya terlupa membawa kamera bersama, kalau tidak tentu saya dapat merakamkan saat-saat manis itu. Harap-harap ia dapat berulang lagi.
Bila malam menjamah, lensa tertuju ke luar jendela - tiada yang menarik, cuma barisan pusara lama yang menghiasi. Malam itu saya hanya berbual dengan kubur-kubur lama di situ. Terdengar mereka berbisik, "Firasat dalam jasad, sahabatku. Insan mengandung rahsia-Nya." Saya diam sahaja sambil menghembuskan asap rokok ke arah mereka. Menghela nafas yang berat, serasakan ada batu yang berat tercokoh di atas kepala saya. Saya menjawab, "Ia memang begitu, tapi senyap-senyap sahaja. Cari sahajalah. Duduk tilik-tilik sambil dendang irama lama." Suasana sepi seketika. Mata saya terus menyeluruhi nisan yang sekian tercacak tanpa terurus. Kalau tidak biasa mungkin sahaja menimbulkan kengerian apabila tempat tidur bersebelahan dengan barisan kubur lama yang tidak begitu terjaga. Dahulu sewaktu kecil memang saya tidak berani untuk menjengahnya.
Tapi guru saya kata, "Tiada apa-apa. Jasadnya sudah terbujur di mamah cacing dan ulat. Suatu masa kita akan menuruti mereka juga. Tenang-tenang sahaja."
Lama juga mata berdegil untuk menyeronoti pusara itu, saya terus sahaja menghembuskan asap rokok entah untuk kali ke berapa. "Ya kematian itu bukan sahaja hampir kepada kita, bahkan sentiasa ada di dalam diri setiap kita. Menganjur dari hujung kaki ke hujung rambut, sentiasa merengkuh dan terlerai pabila waktunya tiba nanti." Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Lantas kehidupan yang sedetik ini cuma apa ya?
Kata guru saya, "Cuma untuk bertanam, tapi pilihlah tanaman yang lazat dan berkhasiat serta tahan lama untuk menjadi jajan (bekal) pulang nanti."
Ah, Pahang yang Makmur, makmurkanlah hati kami dengan ketenangan agar dapat berpamitan dengan kasih dan mesra seorang pecinta. Kembali ke sarang-sarang percintaan sambil disulam nyanyian Rumi.

4 comments:

Nissa' Yusof 10:08 PM  

assalamualaim..
saja jalan-jalan cari makanan..hehhee..bila nak jalan2 ke perak??

Hydrocodone 5:08 PM  

27i5bA The best blog you have!

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP