Thursday, August 17, 2006

Amani Kena Marah!

Dr Rais marah gelagat Amani
Oleh Zainuri Misfar
Berita Harian 15 Ogos 2006


DI atas alasan apa sekalipun, ungkapan ‘It will sound stupid, if I speak Malay’ mendatangkan rasa dukacita dan kemarahan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menganggapnya terang-terangan menghina bahasa bahasa dan budaya Melayu.
Ungkapan itu antara perkataan yang dikeluarkan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM19), Sharifah Amani semasa berucap selepas menerima trofi kemenangannya dari pelakon veteran, Rubiah Suparman dan Datuk Rahim Razali. Perkataan lain yang dikeluarkan pelakon muda ini ialah, “Lets do it more often if filem ini dikatakan mencemarkan budaya.” Ucapannya yang dianggap sebagai kurang ajar itu mengejutkan hampir seluruh yang hadir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dan sekali gus merosakkan acara FFM19.
Dr Rais yang ditemui media selepas acara itu berlangsung, berkata ucapan Sharifah Amani yang dirujuknya sebagai ‘bintang filem perasan’ itu, sebagai terlalu merendahkan reputasi bangsa dan bahasa sendiri. “Sebutan yang dikeluarkan pemenang tertentu mungkin lantaran rasa ‘gubra’ lantas merendahkan bahasa dan bangsa sendiri. Saya harap bintang filem seperti ini jangan diajak ke atas pentas lagi untuk memberi ucapan. “Sebab apa yang disebutkan itu terlalu merendahkan reputasi bangsa dan bahasa sendiri.
Jadi kalau seorang bintang filem berperasaan begitu, masa depan filem tempatan kurang dapat saya apitkan dengan kejayaan,” katanya lagi. Tambah Dr Rais lagi, beliau memang duka cita dengan gelagat ‘bintang filem itu’ dan yakin perasaan itu akan turut dirasai penonton yang menonton siaran langsung FFM19. “Caranya mencemarkan keadaan. Tentu sekali penonton seluruh tanah air memberi reaksi yang sama. Jadi sebelum surat mencurah-curah (menyatakan tidak puas hati) kepada saya, lebih saya buat pengumuman yang saya sendiri dukacita di atas gelagat bintang filem seperti itu,” katanya. Menurutnya, walaupun bagaimana emosi pun, sebagai seorang pelakon, sekurang-kurang jiwa berpijak di bumi nyata, tidak sepanjang masa melihat bintang di langit. “Kalau seorang (dari kaum) India dia tak mengatakan ‘sound stupid, to speak Indian or Tamil’, (sedangkan) dia seorang Melayu dia mengatakan ‘sound stupid, if I speak Malay’.
“Tidak ada cara lain yang paling dahsyat saya rasa, bagi seseorang pelakon menyatakan sedemikian, di khalayak ramai dan seantero tanah air. Saya harap ibu bapanya mengajar sedikit budi bahasa. Belajar bagaimana bercakap dan tidak mengeluarkan kata-kata yang menghina bangsa dan bahasa sendiri. “Macam mana seronok pun, takkan kita hilang punca. Kalau nak menjatuhkan bahasa sendiri tak usah sebut kepada orang ramai. Kami di kementerian (Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan) mengajar orang berbudi bahasa, berbahasa dengan baik. “Tapi bintang filem naik pentas, lanyak bahasa sendiri, lanyak bangsa sendiri. Ini saya tidak boleh maafkan!” sambungnya lagi. Sehubungan itu, Dr Rais memberi amaran kepada semua pihak yang menganjurkan, kalau masih ada perkara seperti ini, lebih baik jangan diadakan. “Sebab mahu tak mahu, kerajaan Malaysia terbabit dalam anjuran ini.
Orang memandang kerajaan, orang memandang KeKKWa. Ini yang orang tak faham. Jadi saya mohon penganjur berbudi bahasa dan kalau tidak boleh bercakap, jangan bercakap,” katanya sambil menyerahkan isu itu kepada PFM untuk mengambil tindakan sewajarnya.

4 comments:

zalisa,  4:14 PM  

pagi ini kak bincang dgn ustaz dalam kelas hal ini. menarik juga. tapi off record!

macai_suci 11:17 AM  

hmmm....bangsa melayu lupa daratan

Gelembai 10:47 AM  

aku rasa amani ni bukan melayu...sharifah darahnya arab....cina dan india sebahagian dari dirinya...nah setitik darah melayu atau dari daerah nusantara ini tiada apa pun dari dirinya itu. sahlah bangsa-bangsa yang membangsat ini suka menghina melayu. apakah kita pernah melakukan yang perkara sama terhadap mereka?????

Related Posts with Thumbnails

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP